OSAKA – Jepun sekali lagi menghulurkan tangan demi pembangunan bola sepak Malaysia apabila kelab divisyen kedua, Fagiano Okayama menawarkan ubi muda negara untuk bersekolah di tempat mereka dan menjalani latihan pada waktu petang.
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, beliau menerima berita tersebut semasa membuat lawatan kerja di Padang Latihan Masada, Okayama yang juga merupakan venue latihan penyerang Fagiano, Hadi Fayyadh Abdul Razak.
“Selepas berbincang dengan pihak pengurusan sekolah swasta yang berkolaberasi dengan Fagiano, mereka bersetuju untuk menempatkan pemain Malaysia yang berbakat berusia 17 tahun di sini.
“Mereka akan belajar di sekolah Jepun dan kemudian mengikuti sesi latihan bola sepak pada waktu petang. Ia secara tidak langsung, dapat merapatkan hubungan di antara Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM),” kata Syed Saddiq ketika ditemui di Okayama semalam.
Dalam pada itu, Pengarah Urusan Yakult Malaysia Sdn. Bhd., Hiroshi Hamada berkata, pihaknya berbesar hati untuk menawarkan biasiswa kepada pemain muda yang akan terpilih mengikuti persekolahan tersebut memandangkan kos sara hidup di negara matahari terbit itu tinggi.
“Kami sedia membantu pemain yang layak dengan memberikan mereka Biasiswa Yakult bagi menampung kos pembelajarannya di sana.”
“Pihak sekolah tersebut telah bersetuju untuk memberikan yuran pembelajaran secara percuma, cuma perlu membayar wang yuran penginapan dan makan sebanyak RM2000.00 sebulan. Kos ini akan di tanggung oleh pihak kami,” katanya.- UTUSAN ONLINE











