JOHOR BAHRU 7 Ogos – Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri melakukan serbuan terhadap tujuh premis kerana menjual bengkung Let’s Cantik tiruan di sekitar daerah ini semalam.
Ketua Pegawai Penguatkuasanya, Zubir Hamsa berkata, dalam serbuan bermula pukul 6 petang itu, sebanyak 147 bengkung disyaki tiruan bernilai RM17,455 dirampas.
Katanya, pemilik cap dagang itu yang juga usahawan, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman, 34, atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat turut terlibat sama dalam operasi yang dilakukan sekumpulan pegawai dan anggota penguat kuasa KPDNHEP negeri.
“Kesemua barangan yang dirampas ini adalah berupa bengkung daripada jenama Let’s Cantik yang disyaki tiruan. Tindakan ini adalah hasil daripada pemantauan dan risikan KPDNHEP bersama pemilik cap dagang produk berkenaan.
“Operasi dijalankan selepas pemilik produk membuat laporan kepada pihak kami kira-kira dua minggu lalu, beliau (pemilik) juga ada terlibat dalam operasi ini yang bertujuan untuk membantu kita kenal pasti produk ciplak,” katanya dalam sidang akhbar di Menara Ansar di sini hari ini.
Zubir berkata, hasil pemeriksaan dilakukan, pemilik cap dagang itu turut mengesahkan yang produk dirampas ini turut mempunyai tiga ke empat ciri berbeza daripada produk tulen yang dipasarkan hasil pemeriksaan dilakukan.
Katanya, pihaknya juga akan melakukan siasatan untuk terhadap kesemua peniaga yang menjual barangan terbabit sama ada mereka mengetahui bahawa produk itu adalah ciplak atau sebaliknya.
“Kita memandang serius isu ini kerana produk yang dipasarkan ini untuk kegunaan tubuh badan. Kita khuatir jika pembuatannya tidak dikawal ia boleh mendatangkan mudarat kepada pengguna.
“Perkara ini kita akan siasat terlebih dahulu, tetapi kami percaya mereka tahu tentang itu. Jika benar, ia sudah menjadi satu kesalahan di bawah peruntukkan undang-undang sedia ada,” katanya dan semua barangan disita di bawah Seksyen 8(2)(c) Akta Perihal Dagangan 2011.
Habis.











