KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengingatkan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), SM Nasaruddin SM Nasimuddin dan kumpulannya bahawa tindakan boleh diambil terhadap mereka sekiranya terbukti dakwaan pencalonan pihak tertentu diatur tanpa mengikut perlembagaan badan induk itu.
Katanya, menjadi tanggungjawab mereka untuk menyelesaikan kemelut keraguan pencalonan pemilihan pucuk pimpinan yang dibangkitkan seorang ahli jawatankuasa Persekutuan Ragbi Kerusi Roda Malaysia (MWRF), Isnin lalu itu secepat mungkin.
Semakin MPM melengah-lengahkannya tegas beliau, selagi itulah segala kebajikan dan kepentingan atlet-atlet para bakal sukar dikendalikan dan dibela terutama dalam persediaan mereka menghadapi Sukan Para ASEAN dan Paralimpik 2020.
“Kalau kemelut ini berterusan dan terbukti dakwaan mengatur pemimpin yang memang salah, saya akan pastikan ada tindakan sewajarnya. Saya telah ingatkan Presiden MPM dan kumpulannya untuk selesaikannya secepat mungkin. Apa-apa berlaku, kumpulan SM Nasaruddin yang kena jawab,” katanya.
Beliau ditemui selepas perlawanan akhir Kejohanan Bola Sepak Bawah 12 Tahun Piala Global Yakult 2019 di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil, hari ini yang menyaksikan Kedah Warriors menjuarai pertandingan itu setelah menewaskan Fireball FC 1-0.
Pemilihan MPM sempena mesyuarat agung tahunan ke-22 ditangguhkan pada 29 Jun lalu gara-gara keraguan berhubung pencalonan bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar sebagai Presiden untuk menentang Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharuddin.
Jelas Saddiq, Pesuruhjaya Sukan baharu, Dr. Wirdati Mohd. Radzi yang bakal bertugas secara rasmi sedikit masa lagi turut memikul tanggungjawab besar untuk menangani kemelut MPM, selain kewujudan dua Presiden dan Majlis Eksekutif Persekutuan Karate Malaysia (Makaf).
“Beliau sudahpun mendapat lampu hijau dari Universiti Malaya dan hanya menunggu kelulusan JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam) untuk mulakan tugas baharunya,” katanya.
Sementara itu, Yakult, pengeluar minuman susu kultur probiotik Jepun, akan menaja 15 pemain terbaik daripada Piala Global Malaysia ini untuk menyertai Piala Global Asia di J-Green Sakai, Osaka dari 14 hingga 16 September ini, kata Pengarah Urusannya, Hiroshi Hamada.
Mereka bakal bersaing dengan pasukan Asia seperti Buriram FC, Assumption United FC (Thailand), Cerezo Osaka, Vissel Kobe, Voltis Tokushima, Fagiano Okayama (Jepun) dan dari Australia, Korea Selatan dan China. – UTUSAN ONLINE











