PUTRAJAYA 27 Julai – Persediaan dan latihan selama dua minggu sebelum pertandingan membuahkan hasil apabila Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 11 (1) di sini muncul johan Pertandingan Bicara Berirama Sekolah-sekolah peringkat daerah Putrajaya 2019.
Sekolah tersebut menewaskan sembilan sekolah menengah lain sekitar Putrajaya dan membawa pulang sijil serta wang tunai dalam bentuk Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) berjumlah RM3,000.
Menurut guru pembimbing sekolah itu, Wan Izwatun Mohd Isa, persiapan menyertai pertandingan itu dilakukan sejak dua minggu lalu dengan melakukan latihan selama hampir tiga jam sehari selepas sesi rehat tamat.
“Saya dibantu guru lain serta alumni sekolah untuk mengkaji setiap kehendak dan syarat pertandingan bagi memudahkan pelajar kita menjiwai serta melakukan yang terbaik.
“Tajuk yang diberikan adalah berkaitan penabungan sekali gus memberi kesedaran kepada pelajar tentang pentingnya amalan menabung, terutamanya untuk pendidikan di masa akan datang,” katanya.
Selain itu, kategori sekolah rendah dimenangi Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 9 (2) yang turut membawa pulang sijil serta wang tunai dalam bentuk SSPN-i berjumlah RM3,000.
Sementara itu Timbalan Ketua Eksekutif (Dasar dan Operasi) Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Mastura Mohd. Khalid berkata, pertandingan yang dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya serta SK Putrajaya Presint 11 (3) itu bertujuan untuk mendidik rakyat Malaysia menabung melalui pertandingan bicara berirama bertemakan SSPN.
“Kami harap dengan hadiah yang diberikan berupa wang tunai dalam bentuk akaun SSPN-i dapat mendorong pelajar untuk terus menabung sekali gus menambah simpanan khusus bagi pendidikan di masa akan datang.
“Selain itu, PTPTN juga mahu mendekati golongan ibu bapa bagi menyampaikan maklumat dan perkhidmatan mengenai SSPN,” katanya.
Dalam pada itu Mastura turut memaklumkan, sehingga 30 Jun lalu, sebanyak 4 juta akaun SSPN dengan jumlah simpanan berjumlah RM4.9 bilion dicatatkan PTPTN.
Bagi tahun ini katanya, pihaknya menyasarkan sejumlah 500,000 akaun baharu dibuka dengan kutipan deposit sebanyak RM1 bilion.
“Bermula Januari hingga 30 Jun lalu, sebanyak
214,000 akaun baharu SSPN dibuka dengan jumpah deposit RM421 juta.
“PTPTN optimis dapat mencapai sasaran 500,000 akaun baharu tahun ini kerana banyak perancangan diatur terutama kerjasama dengan pejabat pendidikan negeri seluruh negara bagi mempromosikan SSPN di peringkat sekolah,” katanya. – UTUSAN ONLINE.











