Hina Nabi: Bersatu Melaka desak polis bertindak - Utusan Malaysia

Hina Nabi: Bersatu Melaka desak polis bertindak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA 27 Julai – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Melaka mendesak pihak polis segera bertindak mendakwa pemilik akaun Facebook bernama Wendy Loong yang memuat naik bahan menghina nabi Muhammad SAW baru-baru ini.

Timbalan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka, Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen berkata, tindakan pemilik akaun Facebook ini amat keterlaluan dan tidak boleh diterima sama sekali.

Sehubungan itu katanya, Bersatu Melaka mendesak pihak polis agar bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menyiasat individu yang terlibat dalam perkara ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Tindakan tegas harus diambil agar dalang yang terlibat menghina Nabi Muhammad SAW dikenakan hukuman paling berat.

“Perpaduan yang dibina sekian lama harus dipertahankan. Rakyat mahukan perpaduan dan bukannya membakar sentimen perkauman atau keagamaan secara keterlaluan semata-mata untuk mendapat keuntungan politik,” katanya.

Mohd. Rafiq yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu sebelum itu bersama pimpinan parti membuat lapan laporan polis membantah penghinaan pemilik akaun Facebook berkenaan, di Balai Polis Taman Tasik Utama Ayer Keroh di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir, Ketua Armada Bersatu Melaka, Ramlan Meon dan Ketua Srikandi Bersatu negeri, Azalina Abdul Rahman.

Menurut Mohd. Rafiq yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Pelaburan negeri, tindakan tegas perlu agar ia menjadi pengajaran kepada semua pihak supaya tidak sesekali berani melintasi garis sensitiviti antara agama dan kaum.

Katanya, penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW bukan isu politik dan tidak seharusnya dipolitikkan oleh pihak yang berkepentingan.

“Semua pihak tanpa mengira ideologi politik harus menolak perbuatan biadab ini.

“Bersatu akan terus berada di barisan paling hadapan untuk mempertahankan kesucian agama Islam dan kedudukan bangsa Melayu tanpa mengetepikan dan mendiskriminasi hak-hak kaum dan agama lain,” tegasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini