Rohingya perlu dilayan sebagai rakyat - PM - Utusan Malaysia

Rohingya perlu dilayan sebagai rakyat – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Etnik Rohingya seharusnya dilayan sebagai rakyat Myanmar atau diberikan wilayah sendiri untuk membentuk negeri, kata Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, meskipun Malaysia secara amnya tidak mahu campur tangan dengan masalah dalaman negara lain, tetapi ia terpaksa berbuat demikian disebabkan pembunuhan beramai-ramai dan penghapusan etnik yang berlaku di Myanmar.

“Myanmar, pada masa dulu terbentuk daripada banyak negeri. Bagaimanapun, British memutuskan untuk memerintah Myanmar sebagai sebuah negara dan disebabkan itu, banyak etnik dimasukkan di dalam negara Burma.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dan sudah tentu ketika ini, mereka seharusnya dilayan sebagai warganegara atau dipulangkan wilayah mereka untuk membolehkan mereka membentuk negeri,” katanya dalam temuramah dengan agensi berita Anadolu di Ankara ketika lawatan empat harinya ke Turki.

Pada 2017, lebih 700,000 etnik Rohingya kebanyakannya beragama Islam, diusir dari negeri Rakhine ekoran operasi diterajui tentera, tindakan yang menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) termasuk pembunuhan dan wanita menjadi mangsa rogol beramai-ramai.

Bekas Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia PBB, Zeid Ra’ad al-Hussein memberitahu, Majlis Hak Asasi Manusia, episod itu adalah ‘contoh buku teks pembersihan etnik’, menurut laman web PBB.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai penderitaan etnik Uyghur di China, Mahathir berkata, Malaysia sentiasa mendokong penyelesaian sebarang konflik menerusi rundingan, timbang tara atau kedaulatan undang-undang.

“Kita seharusnya memberitahu China bahawa tolong layan mereka seperti warganegara. Meskipun berbeza agama, ia tidak seharusnya mempengaruhi layanan terhadap mereka. – Bernama

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini