Uncle Kentang tawar khidmat cuci luka percuma selepas teksi 10 sen, van jenazah RM1 - Utusan Malaysia

Uncle Kentang tawar khidmat cuci luka percuma selepas teksi 10 sen, van jenazah RM1

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUCHONG 27 Julai – Selepas melancarkan perkhidmatan teksi 10 sen ke hospital dan van jenazah RM1, Kuan Chee Heng kini menawarkan pula perkhidmatan rawatan penjagaan luka khusus untuk golongan tidak berkemampuan di rumah pesakit.

Chee Heng yang lebih dikenali sebagai Uncle Kentang berkata, khidmat itu ditawarkan secara percuma di kawasan Puchong dan sekitarnya melalui pertubuhan amal yang dipimpin oleh beliau iaitu Persatuan Kepolisan Komuniti Malaysia.

Katanya, ia dilaksanakan selepas mengambil kira mengenai kesulitan dan beban kewangan yang dihadapi oleh pesakit untuk mendapatkan rawatan berkenaan di hospital.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kami mendapati ramai yang tidak berkemampuan untuk menerima rawatan di hospital dan sengsara yang dihadapi bukan sahaja ditanggung oleh pesakit malah ahli keluarga mereka.

“Inisiatif ini bukan sahaja dapat membantu meringankan kewangan mereka malah memberi ilmu kepada pesakit mengenai langkah penjagaan rawatan yang boleh dilakukan sendiri di rumah tanpa perlu ke hospital,” katanya.

Mengulas lanjut, Chee Heng yang juga Presiden pertubuhan itu berkata, khidmat tersebut boleh didapati dengan hanya menghubungi pasukan mereka yang terdiri dalam kalangan seorang doktor pelatih serta beberapa pembantu perubatan dan misi.

“Rawatan penjagaaan atau mencuci luka ini merangkumi pelbagai penyakit yang dihadapi pesakit seperti kencing manis, diabetes, kemalangan dan kebakaran.

“Jika ada luka yang tidak boleh dicuci di rumah berdasarkan nasihat doktor, kami akan menghantarnya ke hospital untuk rawatan susulan,” katanya.

Ujar beliau, disebabkan petugas yang terhad dan permintaan tinggi terhadap perkhidmatan itu, pihaknya mengalu-alukan lebih ramai sukarelawan terlatih dalam bidang rawatan dan kesihatan untuk terlibat dalam kerja-kerja sosial itu.

“Kami juga memohon sumbangan daripada farmasi untuk membantu memperluaska khidmat ini supaya lebih ramai lagi pesakit dapat dibantu,” katanya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan perkhidmatan penjagaan luka itu boleh berbuat demikian dengan menghubungi Uncle Kentang di talian 018-268 3999. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini