Macau Scam : 3 wanita ditipu, RM77,200 lesap - Utusan Malaysia

Macau Scam : 3 wanita ditipu, RM77,200 lesap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 27 Julai – Tiga wanita kerugian RM77,200 selepas menjadi mangsa penipuan Macau Scam di Kuching, Sarawak minggu lalu.

Memetik laporan portal Utusan Borneo, ketiga-tiga kes itu dilaporkan berlaku di Kuching, Sibu dan Padawan, Sarawak.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Sarawak Superintenden Mustafa Kamal Gani Abdullah dalam satu kenyataan berkata, kes pertama melibatkan pelajar perempuan berusia 20 tahun di Kuching apabila dia diperdaya suspek yang menyamar sebagai ‘Majistret Mr. Johnson Tan’ kononnya mangsa mempunyai notis terakhir tunggakan saman kad kredit sebuah bank berjumlah RM16,840.88.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ujarnya, mangsa yang dihubungi lelaki terbabit kemudiannya disambungkan kepada suspek yang menyamar sebagai polis bernama ‘Inspektor Leong’ yang mengatakan mangsa terlibat dengan pengubahan wang dan untuk mengambil laporan mangsa.

“Selepas itu, panggilan telefon disambungkan kepada seorang lagi suspek yang menyamar sebagai polis wanita yang meminta data-data peribadi serta ID Maybank2u dan CIMB Click milik mangsa kononnya untuk memeriksa data dalam sistem pengubahan wang haram,”

“Suspek turut meminta nombor TAC daripada mangsa sebelum pelajar terbabit menyedari ditipu setelah mendapati wang keseluruhan berjumlah RM17,760 dari akaunnya dipindahkan ke dua akaun pihak ketiga,” katanya.

Mengulas lanjut Mustafa Kamal memberitahu, kes kedua pula melibatkan seorang perempuan berusia 25 tahun dan bertugas di hospital di Sibu dekat sini.

Jelasnya, wanita terbabit turut diperdaya seperti modus operandi kes pertama dengan mengatakan mangsa mempunyai tunggakan kad kredit berjumlah RM16,800.88.

“Mangsa menyedari dirinya ditipu setelah menerima SMS daripada CIMB Click yang mana wang berjumlah RM39,440 dipindahkan dari akaun beliau ke akaun pihak ketiga.

“Dalam kes ketiga pula membabitkan seorang suri rumah berumur 61 tahun di Padawan dekat sini selepas diperdaya seorang perempuan yang menghubunginya mendakwa mangsa mempunyai kes mahkamah berkaitan rasuah,”ujarnya.

Tambah Mustafa Kamal, mangsa menyedari dirinya ditipu setelah membuat semakan akaun bank dan mendapati wang berjumlah RM20,000 dalam akaun beliau telah hilang.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini