NIBONG TEBAL 27 Julai – Sepasang suami isteri cedera selepas ditetak tiga lelaki bersenjatakan parang dalam kejadian di Taman Kuang Indah, Sungai Bakap di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira 11.30 malam itu, mangsa Liew Kim Huat, 48, cedera akibat ditetak di bahagian dada, belakang badan dan patah tangan kiri manakala isterinya, Khoo Mei Mei, 37, pula cedera di tangan kanan dan kiri.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Superintendan Shafee Abdul Samad berkata, pasangan berkenaan sedang berjalan menuju ke kereta mereka selepas bersembahyang di sebuah tokong di situ.
“Tiba-tiba tiga lelaki bersenjatakan parang menyerang pasangan suami isteri ini.
“Mereka cuba melarikan diri namun gagal berikutan suspek menetak mereka bertubi-tubi sebelum suspek meninggalkan mangsa di lokasi kejadian,” katanya di sini hari ini.
Menurut Shafee pemeriksaan awal di lokasi kejadian mendapati terdapat kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan itu.
“Motif kejadian masih dalam siasatan dan berdasarkan siasatan awal, kedua-dua mangsa mendakwa tidak tahu sebab mereka diserang malah mangsa tidak mengenali tiga suspek tersebut.
“Siasaan lanjut masih dijalankan dan usaha mengesan tiga suspek giat dijalankan,” katanya.
Tambahnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah menggunakan senjata merbahaya. – UTUSAN ONLINE











