Kes Rogol Exco Perak - Tommy Thomas kena bukti kredibiliti atau letak jawatan - Utusan Malaysia

Kes Rogol Exco Perak – Tommy Thomas kena bukti kredibiliti atau letak jawatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 27 Julai -Peguam Negara, Tommy Thomas digesa meletakkan jawatan jika masih menangguhkan tuduhan kes rogol terhadap Exco kerajaan Perak, Paul Yong.

NIK SAIFUL ADLI BURHAN
NIK SAIFUL ADLI BURHAN 

Pengerusi Kluster Peguam Muda Pemuda UMNO Malaysia (PPUM), Nik Saiful Adli Burhan berkata, pihaknya faham dan menghormati keputusan polis sebelum ini yang tidak menahan reman wakil rakyat DAP itu semasa siasatan.

Katanya, kertas siasatan kes tersebut sudah pun sempurna dan sampai kepada pihak Pendakwa Raya namun kini timbul persoalan bagaimana dengan perkembangannya?

Memuatkan artikel berkaitan…

“Apa sudah jadi kepada kertas siasatan tersebut? Pada peringkat ini, satu-satunya pihak yang berkuasa ke atas kertas siasatan itu adalah Pendakwa Raya. Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa mutlak kepada Peguam Negara merangkap Pendakwa Raya untuk mengarahkan pertuduhan dibuat di mahkamah.

“Semuanya di tangan Tommy Thomas dan saya pasti tiada Pendakwa Raya lain di Perak yang berani melangkaui arahan beliau, atas sebab inilah Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki serta Pemuda UMNO konsisten menentang pelantikan Peguam Negara berkiblatkan parti politik.

“Jika benar Tommy Thomas adalah Peguam Negara, bukannya Peguam PH, maka segerakan pertuduhan terhadap Paul Yong. Jika tidak sanggup, maka Tommy Thomas harus meletakkan jawatan dan serahkan kuasa kepada orang lain yang lebih bebas. Beranikah Tommy?,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas desakan Asyraf Wajdi selaku Ketua Pemuda UMNO supaya Peguam Negara menyegerakan pertuduhan terhadap Paul mengambil kira kes melibatkan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di Melaka, Ma’on @ Yunus Abu Samah yang diambil tindakan lebih serius oleh pihak berkuasa.

Sementara itu, Nik Saiful Adli berkata, kes rogol Exco kerajaan negeri dari DAP tersebut mendapat perhatian antarabangsa terutamanya Indonesia, negara asal pembantu rumah iaitu mangsa dalam kes ini.

“Desakan Pemuda UMNO bukanlah semata-mata mempolitikkan isu tetapi atas dasar tidak mahu negara ini dilihat sebagai menyembunyikan pelaku jenayah, sebuah negara yang tidak selamat dan gagal memberi pembelaan sewajarnya kepada warga asing yang bekerja di negara ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini