KUALA LUMPUR 27 Julai – Persatuan Veteran Angkatan Tentera Tidak Berpencen Malaysia (PVATTBM) hari ini menggesa kerajaan untuk mengkaji semula akta berkaitan veteran tentera terutamanya yang tidak berpencen bagi memastikan kebajikan mereka terjaga.
Presiden PVATTBM, Ismail Abidin berkata, kebajikan veteran tentera seperti tidak dijaga dan tidak dipandang serius oleh pihak kerajaan sedangkan mereka telah lama berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia dan mempertahankan kedaulatan negara.
Katanya, pemberian elaun sara hidup dan bantuan perumahan kepada veteran perlu dikaji semula, ini kerana kebanyakkan mereka uzur dan tidak mampu lagi untuk bekerja bagi menyara diri, oleh itu bantuan perlu diberikan kepada mereka yang memerlukan.
“Kami gesa pihak kerajaan supaya memandang serius dan menitikberatkan isu penjagaan kebajikan veteran, ada di antara veteran-veteran ini pejuang dari zaman komunis mengalami kehilangan anggota semasa bertugas dan sebagainya, pengorbanan mereka perlu dihargai.
“Pemberian elaun sara hidup perlu dinaikkan dan tidak perlu membuat permohonan pembaharuan bantuan tersebut, kami juga ingin meminta bantuan perumahan untuk veteran diperkenalkan semula, ini amat penting agar bantuan diberikan kepada veteran yang amat memerlukan,” katanya pada sidang akhbar Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Pusat PVATTBM hari ini.
Ismail dalam sidang akhbar sama turut mendesak kerajaan untuk memperkasakan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) bagi memastikan kebajikan para veteran tentera terjaga terutamanya dari segi bantuan perubatan dan peralatan perubatan.
“Sekarang jika veteran-veteran ini ingin memohon bantuan seperti ubat atau peralatan perubatan, mereka perlu mengisi borang di pejabat JHEV dan menyediakan sebanyak tiga sebut harga. Ini amat menyusahkan veteran kerana kebanyakaan mereka sudah lanjut usianya.
“Masa menunggu yang lama untuk pengesahan juga menjadi satu masalah dan banyak terjadi permohonan diluluskan apabila veteran telah pun meninggal dunia, oleh itu saya gesa pihak kerajaan untuk menyediakan satu farmasi panel dan membina pejabat JHEV di setiap negeri bagi memudahkan urusan permohonan. ujarnya. -UTUSAN ONLINE











