KEMAMAN – Seorang lelaki cedera parah selepas motosikal jenis Yamaha 135 LC ditungganginya merempuh seekor rusa liar yang tiba-tiba melintas jalan di Kilometer 107, Jalan Kuantan – Kuala Terengganu berhampiran Kerteh dekat sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 8.10 pagi itu, Muhammad Shahrul Putra M. Saidi, 20, mengalami patah tulang peha kiri dan tulang selangka kanan akibat kemalangan tersebut.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintendan Mohd. Haki Hasbullah berkata, sewaktu kejadian, Muhammad Shahrul Putra dalam perjalanan ke Kuala Terengganu dari Kuantan, Pahang.
“Sewaktu tiba di lokasi kejadian, motosikal jenis Yamaha 135 LC ditunggangi mangsa gagal mengelak seekor rusa betina seberat lebih 50 kilogram yang tiba-tiba melintas jalan.
“Rempuhan itu menyebabkan mangsa tercampak di tengah jalan raya manakala rusa itu pula mati akibat kecederaan serius,” katanya kepada Kosmo! Online di sini hari ini.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara ( Perhilitan ) Terengganu, Dr. Abdul Malik Mohd Yusof berkata, siasatan terperinci telah dilakukan untuk mengetahui habitat asal rusa terlibat dan bagaimana haiwan itu boleh tersesat memasuki jalan raya. – K! ONLINE











