JOHOR BAHRU 27 Julai – Gara-gara tidak berpuas hati dengan bapanya, seorang pemuda berusia 24 tahun bertindak membakar hadapan rumah di Lorong 2 Jalan Dahlia, Kampung Melayu dekat Kluang pagi tadi.
Bagaimanapun tindakan gila pemuda itu menyebabkan kebakaran yang dilaporkan pada pukul 6.25 pagi itu telah merebak ke lapan buah rumah lain dan sebuah stor menyimpang barang-barang lama termasuk tiga motosikal dan sebuah lori, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd. Abduh Ismail berkata, susulan kejadian itu, pasukan Unit Kereta Peronda Polis (MPV) menahan pemuda itu yang tidak bekerja pada pukul 7 pagi.

“Hasil siasatan awal yang dijalankan, pemuda itu mengaku membakar rumah dengan petrol kerana tidak berpuas hati dengan bapanya.
“Siasatan awal juga mendapati, pemuda itu dipercayai menghidap masalah mental (gangguan halusinasi) dan ujian saringan awal air kencing didapati negatif,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Mohd. Abduh berkata, semasa pasukan siasatan di tempat kejadian mendapati kebakaran sudah berjaya dipadamkan sepenuhnya oleh pihak bomba.

Tambahnya, kesemua mangsa terlibat adalah seramai 28 orang termasuk lapan warga Vietnam, kini ditempatkan sementara di Balai Raya Rumah Murah Kluang 2, Kampung Melayu.
“Forensik Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor telah membuat pemeriksaan di tempat kejadian dan mengambil sampel bahan terbakar untuk analisa kimia dan polis sedang giat menjalankan siasatan termasuk mengenal pasti jumlah kerugian,” katanya.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE











