Tindakan tegas dan bersepadu melibatkan semua pihak berkepentingan perlu diambil bagi mengatasi penjualan dan penggunaan rokok elektronik atau vape serta gula-gula ghost smoke dalam kalangan kanak-kanak dan pelajar kerana masalah ini tidak boleh ditangani secara bersendirian.
Pihak berkuasa berkaitan juga perlu bergerak lebih pantas dan mengambil tindakan tegas untuk menghentikan penjualan bahan-bahan tersebut kepada kanak-kanak manakala pihak sekolah pula perlu memantau dan mengadakan kempen kesedaran mengenai bahaya vape dan bahan-bahan seumpamanya seperti ghost smoke terhadap kesihatan.
Walaupun dilaporkan sesetengah cecair vape dan asap ghost smoke tidak mengandungi bahan berbahaya seperti nikotin, tidak ada pihak yang boleh memberi jaminan bahawa bahan tersebut boleh dicampur bahan terlarang seperti dadah.
Ibu bapa pula tidak boleh melepaskan tanggungjawab kepada pihak sekolah atau pihak berkuasa dan perlu memantau aktiviti anak-anak mereka bagi memastikan tidak ada yang terlibat dengan aktiviti menghisap vape atau ghost smoke yang merupakan gula-gula yang mengeluarkan asap.
Dilaporkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah pun merampas pelbagai jenis ghost smoke di seluruh negara manakala
Kementerian Kesihatan pula akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang mengedar dan menjual gula-gula itu sekiranya bahan nikotin ditemukan di dalamnya.
Kita perlu ingat terdapat kemungkinan menghisap vape atau mengambil gula-gula ghost smoke berkenaan boleh menjadi permulaan kepada masalah ketagihan rokok dan dadah dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.
Kebanyakan mereka yang terlibat dengan aktiviti merokok dan penyalahgunaan dadah selalunya bermula dengan sikap ingin tahu atau ‘cuba-cuba’ bersama rakan-rakan.
Saya amat berharap Rang Undang-Undang (RUU) baharu berkaitan kawalan pengunaan rokok elektronik atau vape dan shisha dapat dibentang di Parlimen secepat mungkin bagi menangani masalah ini.
Ia juga harus mengambil kira bahan-bahan yang mempunyai pengaruh yang sama termasuk ‘ghost smoke’ atau pelbagai jenis peralatan atau gula-gula yang mungkin bakal diperkenalkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.
Pihak berkuasa mesti sentiasa berada beberapa langkah ke hadapan untuk menangani masalah ini kerana industri dan sindiket berkaitan sentiasa berubah mengikut peredaran masa dan teknologi.
Ketiadaan undang-undang khusus menyebabkan aspek penguatkuasaan sukar dilakukan dan jawatankuasa khas yang diwujudkan baru-baru ini perlu mencari kaedah terbaik mengawal penggunaan vape, shisha dan rokok elektronik termasuk mengharamkan penjualannya dalam kalangan pelajar dan kanak-kanak.
Dilaporkan bahawa 90 peratus daripada kandungan cecair vape mengandungi nikotin yang boleh menyebabkan ketagihan kepada bahan tersebut.
Jika ada larangan khusus di bawah undang-undang, ia akan lebih memudahkan usaha membedung pembelian dan penggunaan vape dan bahan-bahan serupa.
Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) telah pun menggesa kerajaan segera mengharamkan penjualan vape dalam kalangan masyarakat khususnya golongan remaja.
Gesaan itu dibuat berikutan kandungan dalam cecair vape dipercayai dicampur dengan dadah serta terdapat banyak pihak beranggapan vape hanya mengandungi nikotin yang menyebabkan ketagihan serta tanpa tar yang menjadi punca kanser.
*Penulis merupakan Naib Pengerusi Kanan, Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF)
**Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian Utusan Malaysia











