IPOH 27 Julai – Hampir 200 penyokong setia bola sepak Perak hadir di Hotel Casuarina di sini bagi menyambut ketibaan penyokong pasukan Kedah sebelum mereka berkonvoi menaiki bas dan kereta untuk menyaksikan perlawanan akhir Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini.
Kehadiran penyokong skuad Lang Merah itu disambut oleh Pegawai Khas Kanan Menteri Besar, Mohd. Hafez Mubin Mohd. Salleh.
Mereka menaiki lima buah bas dan beberapa buah kenderaan lain termasuk kereta ke Stadium Nasional Bukit Jalil pada kira-kira pukul 12.30 tengah hari.
Kesemua penyokong The Bos Gaurus (TBG) dan skuad Lang Merah memakai jersi pasukan masing-masing dan kelihatan begitu bersemangat untuk menyaksikan perlawanan antara Perak menentang Kedah.
Terdahulu, Setiausaha TBG Mobs, Mohd. Shirin Adenan berkata, penyokong Perak mahu menjadi perintis kepada hubungan baik antara penyokong pasukan bola sepak di negara ini dalam mewujudkan suasana harmoni dalam kalangan mereka.
Katanya, ia juga menunjukkan kedua-dua penyokong pasukan menampilkan semangat kesukanan yang tinggi dan wajar dicontohi semua penyokong bola sepak di negara ini.
“Bola sepak adalah sukan utama negara dan sebarang bentuk provokasi ke atas pasukan lawan adalah tidak perlu sama sekali. Biarlah kita bersorak untuk pasukan masing-masing dalam keadaan yang harmoni.
“Usaha seperti ini dengan menyambut kehadiran penyokong pasukan lawan diharap tidak berhenti setakat ini, sebaliknya diteruskan bagi mengeratkan lagi hubungan silaturahim dan perpaduan melalui sukan,” katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, sebanyak 40 buah bas yang membawa penyokong Perak telah pun bergerak dari Stadium Perak ke Stadium Bukit Jalil pada pukul 9.30 pagi tadi. – UTUSAN ONLINE











