ALOR SETAR 27 Julai – Perpustakaan Digital Kedah (KDL) di Bangunan Memorial Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang bakal menjadi tarikan baharu di negeri ini akan menggabungkan konsep teknologi dan seni serta warisan.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, projek yang menelan belanja sebanyak RM15 juta itu dijangka siap bagi fasa pertamanya pada suku pertama tahun depan, diikuti fasa kedua menjelang awal 2021.
Menurutnya, konsep serupa telah dijalankan di Perpustakaan Digital Pulau Pinang yang dibangunkan di tempat warisan yang terdapat di negeri itu sehingga menerima kunjungan ramai pada setiap hari.
Berita berkaitan:
“Fasa pertama projek yang bertemakan perpustakaan dalam taman ini merangkumi kerja-kerja mengubah suai Bangunan Memorial Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang boleh menampung 140 orang pengunjung pada satu-satu masa.
“Manakala, kita menjangkakan seramai 360 lagi pengunjung mampu dimuatkan setelah pembinaan fasa kedua melibatkan bangunan baharu yang dilengkapi pelbagai fasiliti,” katanya selepas mengadakan lawatan tapak di Jalan Menteri, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Ujar Guan Eng, KDL bagaimanapun bukanlah projek yang menyamai Perpustakaan Digital Pulau Pinang sebaliknya pelbagai penambahbaikan dan pembaharuan dilakukan.
Sementara itu, Mukhriz berkata, perpustakaan berkenaan bukan sahaja akan menjadi platform digital kepada orang ramai, tetapi memberi peluang kepada para pengunjung untuk melakukan pelbagai program.
“Mereka boleh berkunjung untuk belajar, menyiapkan kerja-kerja sekolah dan pejabat, melakukan kajian dan juga urusan perniagaan di bawah satu bumbung,” katanya. – UTUSAN ONLINE











