Serang polis : 10 lelaki Afrika ditahan - Utusan Malaysia

Serang polis : 10 lelaki Afrika ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 27 Julai – Sebanyak 10 warga Afrika ditahan selepas dipercayai menyerang anggota polis di Pangsapuri Flora Damai dekat sini kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, kejadian berlaku apabila sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial menyerbu sebuah rumah di pangsapuri berkenaan kira-kira pukul 11 malam bagi menahan suspek yang terlibat dalam kes penipuan.

Ujarnya, setiba sahaja mereka di lokasi, telah berlaku provokasi oleh sekumpulan individu sehingga menyebabkan terdapat anggota cedera akibat diserang.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Susulan itu, sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah dan Ketua Balai Petaling Jaya telah tiba di lokasi membantu sebelum menahan 10 lelaki Afrika.

“Kesemua mereka akan direman selama empat hari hingga Isnin ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 148 kanun Keseksaan kerana merusuh manakala tindakan mengesan yang lain sedang dijalankan,” katanya di sini hari ini.

Tambah Fadzil, pihak polis ingin memberi amaran kepada warga asing terutama dalam isu berkaitan kes ini yang jelas telah melanggar undang-undang termasuk menghalang tugas penjawat awam.

“Pihak kita sama sekali tidak akan berkompromi dan tindakan tegas akan diambil kepada semua yang terus melanggar undang-undang negara,” jelasnya.

Terdahulu, tular dalam laman sosial laporan polis mengenai dakwaan sepasukan anggota diserang sekumpulan lelaki Afrika pada Khamis lalu.

Mereka dipercayai telah dipukul, dipijak dan ditumbuk pada muka oleh sekumpulan warga Afrika ketika cuba menahan lima suspek dipercayai terlibat dalam kes penipuan.

Laporan tular itu juga memaklumkan kejadian kira-kira pukul 10.50 malam itu berlaku apabila seorang pegawai dan dua anggota membuat pemantauan selama beberapa minit, sebelum mengetuk pintu namun tidak diendahkan penghuni.

Mereka kemudiannya memecahkan pintu tersebut sebelum pemeriksaan mendapati terdapat tiga wanita dan dua lelaki Afrika di dalam rumah itu sebelum memperkenalkan diri dan meminta dokumen pengenalan diri warga asing terbabit.

Bagaimanapun mereka enggan menyerahkan dokumen dan mula bertindak agresif. Ketika ketegangan cuba diredakan, muncul sekumpulan lelaki Afrika di hadapan pintu rumah menjerit, memaki dan mengarahkan polis beredar.

Semasa kekecohan berlaku, lima suspek yang berada di dalam rumah sempat memboloskan diri.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini