400 PATI disasar sertai program B4G - Utusan Malaysia

400 PATI disasar sertai program B4G

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 27 Julai – Jabatan Imigresen menyasarkan kira-kira 300 hingga 400 pendatang asing tanpa izin (PATI) menyertai kumpulan awal program Pulang Ke Negara Asal (Back For Good – B4G) bagi membendung kesesakan di depot tahanan Imigresen seluruh negara.

Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Khairul Dzaimee Daud.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, ketika ini pihaknya mempunyai 14 depot di seluruh negara yang mampu menampung kira-kira 10,500 PATI.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bagaimanapun, kata beliau, bilangan PATI yang ditempatkan di depot terbabit kadang kala mencecah sehingga 11,000 orang dan keadaan itu boleh mendatangkan bahaya kepada mereka.

“Antara bahaya yang dihadapi ialah penyebaran penyakit berjangkit seperti tibi yang dibawa oleh mereka dari negara asal,” katanya kepada Bernama.

Khairul Dzaimee memberitahu, tawaran B4G hanya dibuka kepada PATI yang berada di luar dan tidak ditawarkan kepada mereka yang berada di dalam depot tahanan.

“Ini kerana PATI yang berada dalam depot tahanan sudah menjalani hukuman dan akan dihantar pulang ke negara masing-masing,” katanya.

Pada 18 Julai lalu, program B4G bermula 1 Ogos hingga 31 Disember diumumkan oleh Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bertujuan mengurangkan PATI di negara ini.

PATI berkenaan hanya perlu mendapatkan dokumen pengenalan diri yang lengkap daripada kedutaan besar dan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi masing-masing serta menyerahkannya kepada pejabat Imigresen untuk diproses.

Selain itu, mereka perlu menyediakan bayaran kompaun RM700 dan menunjukkan tiket penerbangan ke negara asal bagi tujuan itu. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini