Hina nabi boleh timbulkan prejudis, kebencian - Utusan Malaysia

Hina nabi boleh timbulkan prejudis, kebencian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN 27 Julai – Individu atau mana-mana pihak yang menghina sesuatu agama perlu dikutuk kerana boleh menimbulkan kebencian dan prejudis dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Sheikh Umar Baghrib Ali berkata, sebagai negara berbilang bangsa agama dan budaya, perlu ada perasaan saling hormat-menghormati antara satu sama lain.

“Mereka yang melakukan perbuatan sedemikian tidak mempunyai rasa tanggungjawab dan sensitif kepada pihak lain lebih-lebih lagi Islam merupakan agama rasmi negara.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Perbuatan sedemikian perlu ditolak bukan sahaja melibatkan agama Islam tetapi juga agama lain agar ada kerukunan dan keharmonian di antara kita,” katanya kepada pemberita selepas Program Fit Mesjid Peringkat Negeri Johor kali ketiga di Masjid Jamek Bandar Pontian di sini sebentar tadi.

Beliau mengulas perbuatan seorang pemilik akaun Facebook atas nama Wendy Loong yang memuat naik gambar mengina Nabi Muhammad SAW baru-baru ini.

Perbuatan tersebut mengundang kemarahan umat Islam dan sehingga kini sejumlah 483 laporan polis telah dibuat di seluruh negara terhadap pemilik akaun tersebut.

Tambah Sheikh Umar, usaha penerapan nilai-nilai hidup bermasyarakat perlu dipertingkatkan supaya tiada mana-mana pihak bebas mengeluarkan kenyataan yang boleh mencetus kemarahan kepada orang lain.

“Harus ada rasa hormat dan saling memahami agama yang dianuti oleh masyarakat di negara ini supaya tidak timbul sebarang perasaan benci dan cubaan untuk merendah-rendahkan agama yang lain,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini