Shaheizy Sam ajak peminat kurus - Utusan Malaysia

Shaheizy Sam ajak peminat kurus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAK terlibat dalam siri filem pecah panggung Polis Evo, pelakon Shaheizy Sam sering digambarkan sebagai individu sihat dengan tubuh badan yang tegap.

Hal ini dapat dilihat menerusi penampilannya dalam Polis Evo dan Polis Evo 2. Membawakan watak Inspektor Khai, ketangkasan dan kecergasan Sam ketika beraksi dalam filem sering menjadi bualan ramai.

Namun sejak kebelakangan ini, penampilan pemilik nama lengkap Shaheizy Sam Abdul Samad itu berubah 360 darjah. Tiada lagi otot pejal, apa yang kelihatan hanyalah gumpalan lemak pada bahagian perutnya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Penampilan terbaharunya itu agak mengejutkan umum, sementelah Sam sendiri tidak berasa malu dengan perubahan tubuh badannya.

Suami kepada pelakon Syatilla Melvin itu juga dilihat sering memuat naik gambar dalam Instagram dan mengkritik secara lucu penampilannya sendiri yang jauh berbeza berbanding dahulu.

Tidak menunggu lama untuk kembali mendapatkan berat badan asalnya, Sam telah melancarkan program 20 Days Challenge dalam Instagram baru-baru ini.

Ikuti temu bual Kosmo! bersama Sam, 37, berkenaan kenaikan berat badannya yang begitu mendadak sedangkan dia bakal masuk ke set filem Polis Evo 3 dalam tempoh dua bulan sahaja lagi.

KOSMO!: Boleh Sam kongsikan lebih lanjut mengenai program 20 Days Challenge yang baru diumumkan dalam Instagram anda tempoh hari?

SAM: Sejujurnya, saya memang mahu menguruskan badan dan kembali bersenam sebelum penggambaran Polis Evo 3 yang akan diadakan sekitar dua bulan lagi. Jadi, alang-alang mahu kembalikan bentuk tubuh asal, mengapa tidak kita lakukan bersama peminat? Justeru, saya telah sediakan nombor telefon pada kapsyen video yang dimuat naik dan sesiapa sahaja yang berminat boleh menghubungi nombor berkenaan.

Adakah anda meletakkan sebarang syarat terhadap bakal peserta yang ingin menyertai program berkenaan?

Tidak sama sekali. Sesiapa yang berasa diri mereka layak boleh terus menghantar mesej menerusi aplikasi WhatsApp. Buat masa ini, saya masih belum memilih calon-calon yang sesuai untuk mengikuti program tersebut.

Bagaimanakah idea untuk membantu peminat menurunkan badan menerusi program tersebut boleh tercetus?

Ketika menjalani penggambaran filem Polis Evo dan Polis Evo 2, saya sering mendapat pertanyaan tentang cara untuk mendapatkan bentuk badan yang tegap. Jadi, mengapa tidak berkongsi dengan peminat? Tambahan pula, berat badan saya memang sedang naik, jadi mereka yang terlibat nanti boleh menyaksikan sendiri perubahan pada bentuk tubuh saya.

Tidak gusar jika ada yang melabelkan anda sebagai tidak layak untuk memimpin sebuah program berbentuk kesihatan memandangkan tidak mempunyai sijil profesional atau perakuan sah?

Sejujurnya, saya yang digelar pelakon profesional oleh ramai orang pun tidak mempunyai sijil perakuan sah. Bagi saya, tidak menjadi masalah untuk berkongsi pengalaman dan perkara-perkara baik dengan orang ramai.

Saya mahu jadikan program ini sebagai penaik semangat buat yang terlibat supaya menjalani hidup yang sihat, bukan berdiet semata-mata.

Adakah anda akan mengekalkan berat badan ideal selepas penggambaran filem Polis Evo 3?

Berat saya sekarang adalah sekitar 80 kilogram (kg). Jika boleh, saya mahu turunkan sehingga 68kg. Seumur hidup, saya memang mempunyai masalah perut buncit. Jadi, apabila difikirkan balik, rasa sayang pula tidak kekalkan berat 68kg itu sehingga ke hari ini. Ketika itu, saya berasa sangat cergas, badan ringan dan hidup saya lebih gembira. Insya-Allah, selepas Polis Evo 3, saya cuba untuk kekalkan berat badan ideal.

Boleh kongsikan sedikit mengenai filem Polis Evo 3?

Buat masa ini, saya hanya diberitahu tentang penggambaran yang akan diadakan. Selebihnya, seperti barisan pelakon dan jalan cerita akan diberitahu menerusi pengumuman rasmi kelak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini