KUALA LUMPUR – Kejayaan membidik empat pingat emas pada Kejohanan Menembak Terbuka Selangor 2019 menjadi perangsang terbaik untuk Nor Suryani Mohamed Taibi memburu keputusan positif pada Sukan SEA 2019 di Filipina, November ini.
Penembak veteran kebangsaan berusia 36 tahun itu mengakui, dia tidak meletakkan sasaran pada kejohanan berkenaan memandangkan hanya menyasarkan untuk memperbaiki jumlah pungutan mata pada kejohanan kali ini.
“Saya agak berbangga dengan persembahan saya pada kali ini, terutamanya apabila dapat memecahkan rekod kejohanan dalam acara tiga posisi, semalam.
“Jadi, hari ini saya hanya mengekalkan teknik tembakan saya dan tidak menyangka masih dapat meraih emas dalam acara prone, hari ini, namun, sedikit kecewa kerana acara ini tidak dipertandingkan pada Sukan SEA nanti,” katanya kepada Bernama selepas majlis penyampaian hadiah di sini, hari ini.
Anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu yang mewakili Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membidik dua emas dalam acara 50m rifle prone individu dan berpasukan pada hari terakhir di Lapang Sasar Menembak Kebangsaan Subang dekat sini, hari ini.
Nor Suryani meraih emas dalam acara individu dengan catatan 588 mata, disusuli rakan sepasukannya, Haslisa Hamed menggondol perak (584 mata), manakala penembak Perak, Nur Syafani Nabilah Abdul Razak terpaksa berpuas hati dengan gangsa (581 mata).
Penembak itu dan Haslisa bersama Adzween Fadila Daud kemudian, membantu ATM meraih emas dam acara berpasukan dengan catatan 1,751 mata. Trio Sarawak serta Perak meraih pingat perak dan gangsa setelah masing-masing melakar 1,705 mata dan 1,704 mata.
Untuk rekod, Nur Suryani sebelum itu meraih dua emas dalam acara 50m rifle tiga posisi individu dan berpasukan pada hari kedua kejohanan, semalam.
Dia memperbaharui rekod kejohanan dalam acara individu dengan catatan 454.3 mata, sekali gus memadam rekod terdahulu iaitu 449.9 mata yang dilakarnya pada edisi 2017.
Dalam pada itu, Nur Suryani mendedahkan dia akan menyertai Kejohanan Asia Tenggara (SEASA) ke-43 di Jakarta dari 16-26 Ogos, serta Kejohanan Asia ke-14 di Doha, Qatar dari 3-11 November ini, namun, tidak meletakkan sebarang sasaran khusus dalam kedua-dua kejohanan berkenaan.
“Saya ingin merasai suasana pertandingan dan tidak meletakkan sebarang sasaran bagi mengelakkan saya tertekan apabila beraksi pada Sukan SEA nanti,” katanya. – BERNAMA











