Bernhart mahu dakap Piala FA - Utusan Malaysia

Bernhart mahu dakap Piala FA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Pemain import Kedah dari Kyrgyzstan, Edgar Bernhardt mengakui, perlawanan akhir Piala FA, Sabtu ini berdepan Perak di Stadium Nasional Bukit Jalil akan menjadi pengalaman baharu dirinya merasai suasana beraksi di hadapan kira-kira 90,000 penonton.

Menurut kapten Kyrgyzstan itu yang pernah beraksi dalam beberapa liga Eropah seperti di Jerman, Poland dan Finland, dia teruja dengan jumlah bilangan penyokong yang akan hadir sambil berharap mampu berikan yang terbaik buat Kedah menjulang gelaran Piala FA.

“Dulu ketika beraksi dalam beberapa liga di Eropah, pernah ada beberapa perlawanan saya beraksi di hadapan penyokong yang begitu hampir dengan jumlah 80,000 penyokong. Namun, ini kali pertama dalam karier, saya akan beraksi di hadapan 85,000 penonton, saya harap dapat gunakan peluang ini bermain sebaik mungkin untuk Kedah.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sudah tentu saya mahu hadiahkan kejuaraan kepada Kedah cuma saya tidak mahu terlalu fikirkan mengenai aksi final nanti, malah saya tidak letak sebarang sasaran peribadi sama ada mahu jaringkan gol atau berikan bantuan gol. Tidak kira apa yang terjadi nanti, saya hanya mahu trofi Piala FA menjadi milik Kedah, ” katanya.

Bernhardt yang berusia 33 tahun bermain untuk pasukan negaranya, baru-baru ini di pentas Piala Asia 2019 sehingga mara ke pusingan 16 pasukan terbaik sebelum tewas kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Dalam pada itu, Bernhardt mengakui potensi yang ada dalam Liga Malaysia selepas merasai pengalaman bermain dalam beberapa perlawanan bersama Kedah, dia yakin lebih ramai pemain dari negaranya berminat datang ke sini.

“Liga ini ada potensi tersendiri dan fizikal yang tidak terlalu jauh jika hendak dibandingkan di Eropah. Pemain tempatan di sini mempunyai teknik yang baik dan bijak dalam melakukan keputusan di atas padang. Cuma pemahaman dari segi taktikal masih lagi dalam fasa perkembangan, namun, situasi itu normal kerana kami di Kyrgystan juga sedang lalui fasa yang sama.

“Kebanyakan pemain dari Kyrgyzstan boleh bermain di sini cuma mungkin ramai lebih mengenali Uzbekistan yang berdekatan dengan kami memandangkan taraf liga mereka lebih tinggi. Namun, kami ada pemain berpotensi dan mahu bermain di luar, saya gembira jika ada ramai lagi pemain Kyrgystan datang ke sini, malah kami mempunyai ramai pertahanan berkualiti, ” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini