Oltmans puji aksi anak buahnya - Utusan Malaysia

Oltmans puji aksi anak buahnya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Ketua Jurulatih skuad hoki lelaki negara, Roelant Oltmans memuji anak buahnya selepas mencatat kemenangan 4-2 ke atas Jerman dalam perlawanan ujian pertama mereka pada jelajah Eropah di Jerman, semalam.

Pakar taktikal dari Belanda berusia 65 tahun itu berkata, beliau gembira melihat peningkatan yang ditunjukkan Malaysian Tigers, sambil menambah pemainnya berjaya menyempurnakan peluang gol yang ada.

“Selain menggunakan peluang terbaik untuk pasukan, pemain juga bertahan dengan baik. Bagi saya apa yang paling penting dalam jelajah ini ialah peningkatan sebagai sebuah pasukan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kami akan analisa dan bincangkan perlawanan ini, serta membangkitkan beberapa topik di mana kita mahu pasukan ini terus meningkat. Pada peringkat ini, peningkatan pasukan merupakan elemen yang paling penting bagi saya, dan percaya keyakinan yang ada pada pemain akan meningkat dengan keputusan positif yang diperolehi,” kata Oltmans.

Dalam perlawanan tersebut, Malaysia mendahului 2-1 melalui pukulan penalti, Muhammad Razie Abd Rahim dan gol padang Faizal Saari, masing-masing pada minit keenam serta minit ke-13, namun, tuan rumah merapatkan jurang melalui pukulan sudut penalti yang disempurnakan Tom Grambusch pada minit ke-23.

Penyerang negara, Muhammad Shahril Saabah meletakkan namanya dalam senarai penjaring melalui pukulan sudut penalti pada minit ke-53 sebelum jaringan gol padang, Meor Muhammad Azuan Hassan menjadikan kedudukan 4-1 dua minit kemudian.

Tim Herzbruch menjaringkan gol kedua untuk Jerman juga melalui pukulan sudut penalti pada minit terakhir permainan, tetapi ia tidak mencukupi untuk menafikan kemenangan Malaysia dalam perlawanan pertama jelajah Eropah tersebut.

Malaysia akan meneruskan perlawanan ujian menentang Sepanyol (31 Julai) serta Belanda (6 dan 8 Ogos) sebelum bertemu Belgium pada 10 dan 12 Ogos ini.

Selepas perlawanan ujian tersebut, pasukan negara akan mengambil bahagian dalam kejohanan jemputan empat negara yang disertai tiga buah negara lagi iaitu, Sepanyol, Ireland dan England dari 1-4 Ogos di Barcelona, Sepanyol.

Jelajah Eropah itu merupakan sebahagian daripada program persediaan Persekutuan Hoki Malaysia (MHC) untuk skuad negara menghadapi kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 pada November. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini