WASHINGTON 26 Julai – Pembangun perisian terkenal Amerika Syarikat (AS), Chris Wetherell meluahkan rasa kesal dan mengakui dirinya melakukan kesalahan kerana memperkenalkan butang ciapan semula (retweet), 10 tahun lalu.
Malah Wetherell turut menyamakan tindakannya itu seperti memberi pistol yang penuh dengan peluru kepada kanak-kanak berusia empat tahun.
“Ketika mencipta retweet, saya percaya ini akan membantu orang ramai untuk berkongsi pendapat dan mendengar suara mereka.

“Namun keadaan bertukar sebaliknya, ciapan semula ini mewujudkan budaya mengkritik dalam talian yang meningkatkan kemarahan sesama manusia,” katanya kepada Daily News.
Melihat ‘Twitter mob’ yang menjadi medan untuk mengejek antara satu sama lain dan menyinggung perasaan netizen, Wetherell berkata, dia seolah-olah melihat situasi itu amat buruk.
“Saya menyedari perkara ini mungkin bukan sesuatu yang disengajakan, barang kali begini orang berkelakuan dan itu yang membuatkan saya diselubungi perasaan takut seperti mahu mati,” jelasnya.
Beliau berkata, sebelum ciapan semula diperkenalkan, netizen membalas mesej dengan menyalin dan menampal semula kandungan itu dengan meletakkan ‘RT’.
Meskipun kesal dengan ciptaannya itu, Wetherell memberitahu, butang itu tidak perlu dikeluarkan daripada Twitter kerana memberi kuasa maklumat dan perkongsian yang tinggi kepada pengguna.
Sehubungan itu beliau mencadangkan agar Twitter membangunkan sebuah kumpulan yang dipanggil sebagai pemerhati untuk mengeluarkan kandungan-kandungan yang menyinggung perasaan mana-mana pihak.
Wetherell bukanlah satu-satunya individu yang tidak menyukai ciptaannya.
Pengasas bersama Facebook, Justin Rosenstein sebelum ini pernah mendedahkan yang beliau telah menyekat semua aplikasi di telefon pintarnya setelah membuatkan dirinya ketagih.
Rosenstein memberitahu Guardian bahawa media sosial dan aplikasi lain boleh membuatkan pengguna internet ketagih seperti heroin selain memberikan kesan kepada keupayaan seseorang untuk fokus terhadap kerja.











