NEW DELHI 26 Julai – Sekumpulan doktor pakar bedah di sebuah hospital di Bengal Barat terkejut dan seakan-akan tidak percaya apabila mereka mengeluarkan berpuluh-puluh barangan kemas dan duit syiling bernilai 53,000 pound (RM271,489) daripada perut seorang wanita, baru-baru ini.
Runi Khatun, 26, dimasukkan ke hospital pada 16 Julai lalu dalam keadaan lemah dan kurus selain muntah setiap kali menjamah makanan.

Daily Mail melaporkan, apabila dibedah, doktor mengeluarkan 69 utas rantai, 80 anting-anting, 46 duit syiling, lapan loket, 11 anting-anting hidung, empat kunci, lima gelang kaki dan seutas jam tangan di dalam perut wanita itu.
Menurut ibunya, dia mula menyedari barang kemasnya hilang di rumah tetapi tidak menyangka anak perempuannya itu menelan kesemua barang tersebut.
Tambahnya, Runi mendapat duit syiling dari kedai abangnya dan apabila ditanya mengenai kehilangan barang-barang itu, dia akan menangis.
Pakar bedah, Dr. Siddhartha Biswas dari Hospital dan Kolej Perubatan Rampurhat berkata, keadaan Runi amat kritikal ketika dibawa ke hospital malah dia langsung tidak mampu makan.
“Jadi kami terpaksa menstabilkannya dulu selama seminggu sebelum dapat melakukan pembedahan.
“Kami juga memasukkan makanan melalui suntikan Total Parenteral Nutrition (TPN) kerana pesakit tidak dapat mengunyah makanan. Barang kali jika dibedah lebih awal, risiko pesakit mati adalah tinggi,” katanya.
Dalam pembedahan yang berjalan kira-kira satu jam 15 minit itu, doktor berjaya mengeluarkan kesemua barangan tersebut daripada perut wanita itu.
Runi kini dilaporkan stabil.











