KUALA LUMPUR – Seorang remaja lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh sebatang tiang lampu di Jalan Yaakob Latif, di sini hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkifli Yahya berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 11.15 pagi sewaktu mangsa, S. K. Laveenash, 19, yang menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda sedang dalam perjalanan dari arah Bulatan Cheras.
“Mangsa dipercayai menunggang motosikal dengan laju sebelum hilang kawalan dan merempuh tiang lampu yang berada di lokasi.
“Susulan rempuhan tersebut, mangsa yang menetap di Bandar Tun Razak di sini maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Zulkifly, kes disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE











