Malaysia mencipta sejarah sebagai satu-satunya negara di dunia yang pernah mempunyai raja yang pernah mengetuai badan institusi kehakiman.
Itulah keistimewaan Sultan Perak, Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah Ghafarullahu-lah, Yang di-Pertuan Agong Ke-9 yang bertakhta dari 26 April 1989 hingga 25 April 1994.
Pengalaman baginda dalam bidang perundangan amat luas. Perjalanan baginda untuk mendaki ke tangga kerusi Ketua Hakim Negara amat mengagumkan. Baginda mencipta sejarah sebagai hakim termuda dalam negara-negara Komanwel dan merupakan Ketua Hakim termuda dalam negara.
Menyentuh kisah keperibadian dan kejayaan baginda semasa menjawat jawatan sebagai Ketua Hakim Negara seperti yang diceritakan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria yang dipetik dari akhbar Utusan Malaysia bertarikh 29 Mei 2014, Sultan Azlan Shah merupakan seorang hakim yang sabar dan jawatan itu amat sesuai dengan diri baginda,
Arifin berkata, semasa Sultan Azlan Shah menjadi hakim dan Ketua Hakim Negara, baginda telah menulis banyak penghakiman penting khususnya tentang Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang pentadbiran.
“Kami para hakim masih membaca dan merujuk kepada penghakiman dan keputusan dibuat baginda,” katanya.
Arifin yang mempunyai pengalaman luas bekerja bersama-sama Sultan Azlan Shah sejak beliau menjadi pendaftar di Mahkamah Tinggi pada 1976 menyifatkan baginda seorang hakim yang sabar.
“Semasa Tuanku dilantik sebagai Sultan Perak, saya juga merupakan Penasihat Undang-undang Negeri Perak dan saya berkhidmat kira-kira lima tahun dan apabila Sultan Azlan Shah menjadi Yang di-Pertuan Agong, saya menerima surat pelantikan sebagai Hakim Mahkamah Tinggi daripada baginda.
“Semua hakim dan peguam akan setuju bahawa baginda seorang hakim yang sabar dan benar-benar sesuai bagi jawatan itu (hakim),” kata Arifin .
Sultan Azlan Shah memulakan perkhidmatan dalam badan kehakiman negara dari peringkat paling bawah iaitu Majistret Kelas I hingga ke peringkat paling tinggi selaku Ketua Hakim Negara.

HAKIM TERMUDA NEGARA-NEGARA KOMANWEL
Baginda dinaikkan pangkat sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Malaya dan merupakan hakim termuda pada usia 37 tahun dilantik dalam Negara-Negara Komanwel atau Komanwel pada 1965.
Pada 1973, Sultan Azlan Shah dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan dan enam tahun kemudiannya pada tahun 1979, sebagai Hakim Besar Malaya sehingga dilantik sebagai Ketua Hakim Negara pada 12 November 1982 dan merupakan hakim termuda dan pewaris takhta kerajaan negeri Perak yang dilantik ke jawatan itu.
Tun Arifin berkata, antara kes terpenting dalam perundangan tanah negara yang diputuskan oleh Sultan Azlan Shah sebagai hakim bicara adalah kes Sidek Haji Muhamad & 461 Ors. v. The Government Of The State Of Perak & Ors. (1982) 1 MLJ 313,
Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa peneroka yang membuka dan menduduki tanah hutan kerajaan di kawasan Kampung Gajah, Daerah Perak Tengah, Teluk Anson, Perak adalah setinggan dan tidak mempunyai hak di sisi undang-undang atau ekuiti. Rayuan peneroka-peneroka yang terlibat untuk diberi hak sebagai pemilik tanah berkenaan telah ditolak oleh Mahkamah Persekutuan.
Satu lagi keputusan Sultan Azlan Shah yang tidak boleh saya lupakan kes Roberts lwn. Ummi Kalthom [1966] 1 MLJ 163. Ketika baginda mendengar kes ini, baginda baharu sahaja memegang jawatan Hakim Mahkamah Tinggi.
Isu utama dalam kes ini mengisarkan kepada hak seorang suami terhadap harta sebidang tanah yang didaftarkan atas nama isteri, selepas pasangan itu bercerai. Plaintif dalam kes ini ialah seorang bukan Melayu tetapi telah memeluk agama Islam sebelum berkahwin dengan defendan.
Penghakiman Sultan Azlan Shah dalam kes ini merupakan permulaan undang-undang harta sepencarian moden, yang selepas itu terus dikembangkan oleh hakim-hakim lain.
Kes-kes harta sepencarian tidak lagi dibicarakan di mahkamah sivil kerana ia tertakluk kepada bidang kuasa mahkamah syariah. Namun kes Ummi Kalthom terus menjadi salah satu kes rujukan penting mengenai harta sepencarian.
Lebih 1,000 kes telah dibicarakan oleh baginda. Rakyat amat mengenali Sultan Azlan Shah sebagai seorang hakim yang berpegang kepada prinsip menegakkan kedaulatan undang-undang dan kesaksamaan.
Pada 28 Mei 2014, Malaysia menyaksikan episod sedih apabila Sultan yang memerintah negeri Perak mangkat pada pukul 1.30 petang di Institut Jantung Negara pada usia 86 tahun. Jenazah baginda dimakamkan di Makam Diraja Kuala Kangsar, Perak.
PENDIDIKAN
Sultan Azlan Shah memperlihatkan sifat kesungguhan dan ketekunan yang tinggi dalam usaha menguasai ilmu dan pengetahuan di Sekolah Melayu Batu Gajah, disusuli di Sekolah Inggeris Batu Gajah hingga memperoleh ‘School Certificate’ dengan keputusan cemerlang dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu dan Bahasa Latin.
Baginda meneruskan persekolahan ke Tingkatan Enam di Maktab Melayu Kuala Kangsar dan berjaya memperoleh Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari University of Nottingham pada 1953 dan setahun kemudian diterima sebagai ‘Barrister-at-Law’ di Lincoln’s Inn United Kingdom pada 23 November 1954.
Sekembali ke tanah air, baginda dilantik sebagai Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri Perak dan kemudian berkhidmat sebagai majistret. Pada 7 November 1982, baginda sampai ke puncak perkhidmatan perundangan negara apabila dilantik sebagai Ketua Hakim Negara .
INFO
- 1955-1956 (Usia 27 tahun) Majistret Kelas Pertama.
- 1957-1959 (Usia 29 tahun) Presiden Mahkamah Sesyen.
- 1962-1963 (Usia 34 tahun) Pendaftar Mahkamah Tinggi Malaya.
- 1963-1965 (Usia 35 tahun) Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan.
- 1965-1973 (Usia 37 tahun) Hakim Mahkamah Tinggi.
- 1973-1978 (Usia 45 tahun) Hakim Mahkamah Persekutuan .
- 1979-1982 (Usia 51 tahun) Hakim Besar Malaya.
- 1982-1984 (Usia 53 tahun) Ketua Hakim Negara.











