Teruskan penyatuan ummah, jangan lagi wujud perbincangan pintu belakang - Exco Pemuda UMNO - Utusan Malaysia

Teruskan penyatuan ummah, jangan lagi wujud perbincangan pintu belakang – Exco Pemuda UMNO

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 26 Julai – Pemimpin UMNO dan Pas perlu meneruskan agenda penyatuan ummah yang diusahakan dan jangan ada lagi perbincangan pintu belakang dengan mana-mana blok Pakatan Harapan (PH) bagi mendapatkan kepentingan.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Fairuz Jamaludin berkata, kerjasama melalui ta’awun siyasi itu adalah medan permulaan penyatuan umat yang akan menjadikan jumlah ahli Parlimen beragama Islam bertambah demi agama, bangsa dan tanah air.

“Pemimpin UMNO dan Pas wajib meneruskan usaha baik ini bagi merealisasikan impian membentuk pemerintahan Islam tanpa mengabaikan kepentingan kaum lain di Malaysia.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Negara sudah serik dengan pelbagai angin politik yang dibawa golongan-golongan yang bertentangan dengan perjuangan asal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

UMNO dan Pas akan mengadakan majlis menandatangani piagam muafakat pada 14 September ini untuk bekerjasama (berta’awun) antara satu dengan lain yang bakal ditandatangani sendiri oleh presiden kedua-dua parti.

Bagi Fairuz, kerjasama kedua-dua parti adalah langkah positif kepada umat Islam dan orang Melayu.

“Walaupun sudah lama bermusuhan dalam politik akhirnya UMNO dan Pas mendapat kata sepakat untuk bersatu demi sebuah perjuangan. Inilah kuasa Allah SWT yang tiada siapa tahu hasil daripada kekalahan pilihan raya umum lalu membawa kepada keberkataan kedua parti keramat ini,” katanya.

Katanya, semua ahli serta akar umbi percaya bahawa tindakan yang dilakukan oleh kepimpinan UMNO itu adalah langkah yang terbaik untuk parti.

“Sokongan tanpa berbelah bahagi daripada ahli UMNO dan Pas demi meneruskan peristiwa bersejarah dalam dunia politik Malaysia,” katanya.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada Rabu lalu berkata, hanya Presiden UMNO sahaja diberikan mandat bagi mewakili parti sekiranya mahu mengadakan sebarang rundingan dengan mana-mana pihak berhubung kerjasama politik.

Beliau menegaskan sebarang perbincangan mesti mematuhi apa yang telah dimuktamadkan oleh Majlis Tertinggi UMNO. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini