SHAH ALAM 26 Julai – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik, Najwan Halimi meminta pihak media bertanya sendiri kepada Amirudin Shari, mengapa Menteri Besar Selangor itu menganjurkan program untuk Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, di kediaman rasminya pada malam Ahad lalu.
Najwan yang disiasat polis dalam penyebaran video seks sejenis yang dikaitkan dengan Mohamed Azmin berkata, beliau maklum mengenai program tersebut tetapi persoalan mengapa Amirudin menjadi tuan rumah dan isu kandungan ucapannya pada malam berkenaan hanya boleh dijawab Menteri Besar itu sendiri.
“Itu kena tanya dia dan saya tidak hadir serta tidak mengikutinya. Saya hanya baca dalam media sahaja,” katanya ketika diminta mengulas perkembangan politik Selangor yang dijangka bakal panas ekoran ucapan Amirudin tentang bayangan dalang di sebalik penyebaran video seks.
Terdahulu Najwan merasmikan Program Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di sini hari ini.
Pada malam Ahad lalu, Amirudin dipetik menuturkan ketika siasatan hampir selesai, siapa yang menjadi dalang semakin jelas: “Makin hari, makin waktu, makin masa, setiap saat, kita dapat melihat semakin hampir dan semakin hampir ia dilakukan oleh mereka yang pernah melalui detik sejarah hitam ini.
“Yang pernah berjuang untuk melalui detik sejarah hitam ini dan melawan detik sejarah hitam ini, malahan menjadi asas kepada perjuangan ini,”.
Dalam pada itu, Najwan mengulangi penafiannya bahawa beliau ada kaitan dengan aktiviti penyebaran video seks berkenaan, sekalipun diambil keterangan hampir dua jam oleh polis Bukit Aman.
“Dalang (tuduhan ke atasnya) semua ini tak masuk akal, ini semua mainan spekulasi yang bertujuan mahu melaga-lagakan pemimpin,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











