KAJANG – Penyanyi Ismail Izzani memaklumkan masih tidak mempunyai rancangan untuk menyambung pelajaran biarpun usianya baru mencecah 19 tahun.
Kata Ismail atau nama sebenarnya, Ismail Izzani Zainal Nazeri, dia bagaimanapun tidak menolak andai suatu hari dibukakan hati untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.
“Bagi saya, kalau sambung belajar tetapi tiada pengalaman pun, tiada gunanya.
“Buat masa sekarang, susah (untuk sambung belajar) sebab jadual kerjaya memang padat.
Bagaimanapun, apabila tiba waktu nanti, Insya-Allah saya akan sambung belajar,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui pada majlis pelancaran single terbaharu, Cinta di Forest Valley Hall di sini sebentar tadi.
Tambah Ismail, dia masih belum terbuka hati untuk menyambung pelajaran kerana sukar untuk menumpukan perhatian kepada satu perkara sahaja.
“Sebenarnya, saya jenis orang yang susah untuk duduk dan belajar. Saya suka belajar berdasarkan pengalaman dan pendapat orang.
“Apapun, saya hormat orang yang sambung belajar seperti rakan seperjuangan iaitu Naim Daniel yang tamat belajar dahulu, baru dia fokus dalam bidang muzik,” katanya lagi.
Naim merupakan merupakan lepasan jurusan Pengajian Muzik di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam, Selangor.
Terdahulu, Ismail yang merupakan anak kepada penyanyi 80-an, Datin Suliza Salam tidak berkesempatan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu atas masalah yang tidak dapat dielakkan. Ismail yang popular dengan lagu Luar Biasa memilih untuk bersekolah di rumah (homeschool).
Cinta merupakan single terbaharu Ismail ciptaannya sendiri dengan komposer muda, Mas Dewangga melalui syarikat rakaman, World Peace Entertainment. -K! ONLINE











