KUANTAN 27 Julai – SME Corporation Malaysia (SME Corp.) meluluskan geran bernilai RM189.26 juta di bawah Program Peningkatan Enterprise Bumiputera (BEEP) sehingga 30 April lalu.
Ketua Pegawai Pelaksanaan dan Pemantauan SME Corp., Rizal Nainy berkata, kelulusan itu melibatkan 1,995 syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di seluruh negara yang mendapat manfaat daripada geran berkenaan.
“Subsektor yang paling banyak menerima geran ini adalah perkhidmatan yang mana kira-kira 89 peratus bilangan PKS di seluruh negara adalah di bawah bidang ini,” katanya dalam sidang akhbar sempena Program Jejak PKS Wilayah Pantai Timur di PJ Food Industries Sdn. Bhd. di Indera Mahkota di sini hari ini.
Program itu disempurnakan oleh Setiausaha Bahagian Perancang Ekonomi Negeri, Datuk Khairur Rizal Ramli dan hadir sama Pengarah Urusan PJ Food Industries Sdn. Bhd., Norehan Mohd. Noor.
PJ Food Industries Sdn. Bhd. merupakan salah satu penerima geran BEEP daripada SME Corp. bagi melaksanakan projek pembungkusan produk, pensijilan dan pembelian mesin.
Menerusi bantuan yang diterima, syarikat berkenaan yang berpengalaman dalam aktiviti pembuatan rempah ratus dan tepung goreng ayam menggunakan jenama produk Puteri Ayu berjaya meningkatkan kapasiti pengeluaran produk seterusnya menembusi pasar raya tempatan seperti Pasaraya Darul Makmur, Tunas Manja Group (TMG) serta Nirwana. – UTUSAN ONLINE











