Dua anak mangsa kemalangan jadi anak angkat Perkeso - Utusan Malaysia

Dua anak mangsa kemalangan jadi anak angkat Perkeso

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Kesedihan dua beradik yang menjadi yatim piatu sekelip mata selepas ibu bapa mereka maut dalam kemalangan melibatkan tiga buah motosikal di lorong motosikal Lebuh Raya Persekutuan Selasa lalu sedikit terubat apabila Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) tampil menghulurkan sumbangan.

Hana Safiyyah, 6, serta adiknya Hani Safina, 2, anak kepada pasangan Muhammad Hamadi Zakaria, 31, dan Nur Syuhadah Zaini, 31, layak menerima bantuan menerusi Faedah Orang Tangungan Perkeso iaitu sebanyak RM2,133 setiap seorang.

Selain itu, kedua-dua ahli keluarga mangsa turut menerima bantuan menerusi Faedah Pengurusan Mayat berjumlah RM2,000 setiap seorang.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sumbangan tersebut disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohamed Azman Datuk Aziz Mohamed.

Menurut Mohamed Azman, bantuan bulanan itu akan diberikan sehingga kedua-dua beradik tersebut berumur 21 tahun atau tamat pengajian diperingkat ketiga.

“Bantuan ini akan dikreditkan terus secara bulanan kepada akaun penjaga kedua-dua beradik ini iaitu datuk dan nenek mereka.

“Diharapkan dengan bantuan ini, waris kedua-dua anak yatim piatu ini membantu membesarkan mereka sehingga mereka berdikari,” katanya ketika ditemui di rumah keluarga mangsa di Seksyen 11 di sini.

Tambah beliau, kedua-dua kanak-kanak itu juga secara rasmi akan dijadikan anak angkat oleh Perkeso dan mereka akan diberikan bimbingan menerusi Program Prihatin Keluarga Angkat Perkeso (Protrek).

“Perkeso akan sentiasa memantau anak-anak ini dan kita akan memberi bantuan dari segi keperluan seperti pelajaran mereka contohnya seperti program tuisyen dan sebagainya.

“Dengan adanya program ini kita dapat memantau perkembangan mereka dan kita mahu faedah-faedah yang mereka terima ini dapat membantu mereka membesar sebaik mungkin dan tidak terabai,” katanya.

Kosmo! Online para Rabu lalu melaporkan, dua kanak-kanak menjadi anak yatim piatu dalam sekelip mata apabila kedua-dua ibu bapa mereka maut dalam kemalangan melibatkan tiga buah motosikal di lorong motosikal Lebuh Raya Persekutuan menghala ke Kuala Lumpur di sini.

Dalam kemalangan kira-kira pukul 8.30 pagi itu, penunggang motosikal berkuasa tinggi jenis Honda CBR500, Muhammad Hamadi dan Nur Syuhadah yang merupakan pembonceng meninggal dunia di lokasi kejadian. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini