KUALA LUMPUR 26 Julai – Timbalan Presiden PKR. Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak akan meninggalkan parti itu kerana kedudukan beliau yang kukuh dalam PKR dan juga kerajaan.
Selain itu, Mohamed Azmin yang mencapai kemenangan ketika pemilihan Timbalan Presiden memiliki dukungan yang cukup kuat dalam kalangan pimpinan parti, sama ada dalam Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan juga Wanita PKR.
Berdasarkan kepada hujah ini, mustahil untuk Azmin meninggalkan PKR dan khabar angin yang mengatakan Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu akan meninggalkan PKR merupakan satu lagi fitnah yang datang daripada orang yang kalah kepada Azmin.
“Malangnya, itu (keluar parti) tidak akan berlaku. Azmin akan tetap bersama PKR.
“Azmin ada dukungan yang cukup kuat dalam kalangan pimpinan parti, sama ada dalam Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan juga Wanita PKR.
“Beliau ada kedudukan yang sah dalam politik (political legitimacy) untuk terus bersama PKR, dan PKR juga adalah basis politik Azmin,” kata Setiausaha politik Azmin, Hilman Idham, seperti yang disiarkan oleh Sinar Harian.
Semalam Utusan Online melaporkan kemungkinan Mohamed Azmin akan meninggalkan PKR untuk menyertai parti Gerakan.
Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin juga yakin Mohamed Azmin tidak akan meninggalkan parti itu walaupun beliau kini dihimpit dengan pelbagai kontroversi termasuk dikatakan tidak sealiran dengan Anwar Ibrahim.
Katanya, keyakinannya itu berdasarkan kepada pengalaman beliau yang pernah bersama-sama Mohamed Azmin sewaktu parti itu mula ditubuhkan pada tahun 1999 lalu.
Menurutnya, beliau yakin Mohamed Azmin yang kini menjadi individu terpenting bukan sahaja dalam parti malah di peringkat Kabinet akan terus kekal bersama parti itu membangunkan agenda kerajaan Pakatan Harapan.
“Berdasarkan pengalaman lama saya mengenali beliau sejak era Reformasi, saya percaya beliau tidak akan beralih arah dari PKR yang diasaskan bersama-sama.
“Ketika itu saya sebagai pimpinan Pemuda manakala beliau di peringkat negeri Selangor dan saya yakin apa saja masalah yang berlaku tidak akan menjadi sebab untuk Mohamed Azmin angkat kaki daripada parti,” katanya.
Namun, setakat ini belum ada sebarang permohonan bertulis daripada Mohamed Azmin menyertai bekas parti komponen Barisan Nasional (BN) itu.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail tuurt mengesahkan Timbalan Presiden PKR itu masih kekal sebagai ahli parti itu sehingga kini.
“Azmin adalah anggota PKR pada saat ini, kedepan saya tak tahulah… Sudah berlaku (keluar) belum? Belum (kan)..bila dah berlaku nanti datang dan tanya saya balik.
“Ia kekal maklumat yang begitu (desas-desus), yang tertakluk kepada pengesahan. Saya tak dapat komen ya atau tidak kerana saya harus berpandukan maklumat daripada sumber yang sahih iaitu yang dimaklum atau dibentangkan dalam mesyuarat-mesyuarat parti,” katanya.
Sebelum itu, ada desas-desus mengatakan Mohamed Azmin tidak lagi selesa berada dalam PKR ekoran ‘pertembungannya’ dengan Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ia berlaku berikutan muncul klip video hubungan asmara sejenis dengan dikaitkan dengan Mohamed Azmin yang diikuti dengan kenyataan Anwar meminta Mohamed Azmin mengundur diri jika benar beliau terlibat.
Dalam jawapan balas, Mohamed Azmin menyuruh Anwar pula cerminkan diri sendiri.
Rentetan daripada itu, Mohamed Azmin juga tidak hadir di pemukiman PKR yang berlangsung selama tiga hari di Port Dickson baru-baru ini. – UTUSAN ONLINE











