PH dipersoal meneruskan lantikan politik dalam GLC, GLIC - Utusan Malaysia

PH dipersoal meneruskan lantikan politik dalam GLC, GLIC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 26 Julai – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dipersoal kerana meneruskan amalan kerajaan Barisan Nasional (BN) membuat lantikan politik dalam syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan milik kerajaan (GLIC).

Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya, Prof. Dr. Edmund Terence Gomez berkata, ini kerana sudah sekian lama GLC dan GLIC disalah guna demi kepentingan ahli politik.

Beliau malah memberitahu, PH juga berjanji bahawa pihaknya tidak akan membenarkan jawatan Menteri Kewangan dipegang oleh Perdana Menteri sebaliknya merencanakan sesuatu yang menguntungkan di Jabatan Perdana Menteri.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Mengapa ahli politik masih dilantik (GLC dan GLIC) ketika PH telah menjadi kerajaan?,” soalnya sewaktu membentangkan kertas kerja dalam Simposium Ekonomi Malaysia bertajuk ‘Ekonomi Malaysia: Kini dan Masa Hadapan’ di Parlimen di sini hari ini.

Yang turut hadir Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohammad Ariff Md. Yusof; Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Nor Shamsiah Mohd. Yunus dan Pengerusi Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau membangkitkan janji PH sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) berkenaan reformasi institusi yang menurutnya termasuk untuk tidak melantik ahli politik dalam GLC dan GLIC, dan berkenaan jawatan menteri kewangan tidak akan dipegang perdana menteri.

Tambah Edmund Terence, keputusan kerajaan memindahkan dua institusi utama seperti Khazanah dan PNB dari Kementerian Kewangan ke Jabatan Perdana Menteri turut dipersoal.

“Oleh kerana Perdana Menteri tidak boleh jadi menteri kewangan, apa yang terjadi ialah institusi penting seperti Khazanah dan PNB, jelas dua GLIC paling penting di negara ini dibawa keluar (dari kementerian kewangan) dan dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri.

“Mengapa keputusan ini dibuat? tiada sempadan yang jelas di antara negara dan perniagaan di samping tiada hubungan profesional,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini