IPOH 26 Julai – Polis Perak menafikan dakwaan kononnya tiada tangkapan dilakukan ke atas ahli Exco kerajaan negeri yang disyaki terlibat dalam kes rogol pembantu rumah warga Indonesia pada 7 Julai lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, dakwaan tersebut sama sekali tidak benar kerana pihaknya telah pun membuat tangkapan dan menahan suspek untuk siasatan pada 9 Julai lalu.
Beliau memberitahu, hasil kerjasama daripada suspek, pihaknya telah berjaya melengkapkan siasatan ke atas suspek dalam tempoh 24 jam sebelum lelaki itu dibebaskan dengan jaminan polis.
“Kertas siasatan telah pun dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya dan dikembalikan semula untuk tindakan seterusnya bagi mendapatkan laporan daripada pakar perubatan dan Jabatan Kimia,” katanya dalam kenyatannya di sini hari ini.
Razarudin berkata, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi dan provokasi ke atas kes tersebut kerana ia boleh menjejaskan siasatan yang sedang dijalankan.
Beliau berkata, pihaknya akan sentiasa memastikan siasatan tersebut dijalankan mengikut undang-undang serta kuasa yang diberikan dengan telus, adil dan amanah.
Ahli Exco kerajaan negeri, Paul Yong Choo Kiong dikaitkan dengan tuduhan rogol berikutan laporan polis yang dibuat seorang pembantu rumah warga Indonesia pada 8 Julai lalu yang mendakwa dirogol Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh dari DAP itu.
Wanita berusia 23 tahun itu dikatakan dirogol di rumah majikannya di Meru sehari sebelum laporan dibuat dan siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.-UTUSAN ONLINE











