KUALA LUMPUR 26 Julai – Pengeluar telefon pintar, OPPO menjadi syarikat terawal mempertontonkan keupayaan 5G sewaktu Ujian Lapangan Berkelompok 5G Secara Langsung yang dianjurkan oleh Celcom, sekali gus membuktikan bahawa telefon pintar jenama itu merupakan perintis pasaran serta teknologi tersebut di negara ini.
Ujian tersebut yang turut dihadiri oleh Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Al-Ishsal Ishak, memperlihatkan telefon pintar OPPO yang terbaharu, OPPO Reno 10x Zoom berjaya mencapai kelajuan muat turun selaju 1,207.35 Mbps.
“Kehadiran teknologi 5G di Malaysia memberi peluang kepada kami untuk lebih berinovasi menerusi teknologi telefon pintar, seperti penggunaan harian realiti maya (VR) dan realiti berperanta (AR).
“Dalam kerjasama dengan Celcom, kami amat berbesar hati kerana dapat menjadi sebahagian daripada ujian 5G ini, dan berharap supaya Celcom terus menjadi yang terbaik dalam memperkenalkan teknologi telekomunikasi yang terkini kepada pengguna internet di Malaysia,” kata Ketua Pegawai Eksekutif OPPO Malaysia, William Fang.
“Dengan teknologi 5G, kita bakal melihat lebih banyak produk dan perkhidmatan akan memudah serta membuatkan kehidupan kita lebih pantas. Alatan mudah alih terutamanya telefon pintar akan menjadi alatan utama bagi mengawal dan berhubung dengan kesemua perkhidmatan ini.
“Oleh kerana itu, OPPO telah menubuhkan sebuah pasukan IoT (Internet of Things) pada tahun 2018 yang memfokuskan pada produk dan perkhidmatan khusus buat sukan, penjagaan kesihatan serta kehidupan pintar yang boleh dihubungkan menerusi telefon pintar,” kata William lagi.
Generasi kelima teknologi mobil atau rangkaian 5G merupakan satu topik tumpuan dalam kalangan penggiat teknologi tempatan.
Selain menjanjikan kelajuan muat turun yang pantas, kehadiran rangkaian 5G memungkinkan potensi VR, teknologi dron, kesihatan dalam talian dan IoT diluaskan. – UTUSAN ONLINE











