PUTRAJAYA 26 Julai- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bersetuju memberi kelonggaran kepada syarikat korporat dan swasta untuk mempunyai nombor pendaftaran khas kenderaan.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata, syarikat korporat dan swasta akan diberikan nombor pendaftaran bermula angka satu sehingga 1,000 dengan bayaran RM5 juta.
Beliau berkata, syarikat korporat dan swasta boleh membuat permohonan mulai hari ini dan mereka juga boleh mendapat tambahan nombor plat kenderaan dengan bayaran RM1 juta untuk 1,000 nombor pendaftaran.
“Menerusi penjualan nombor plat khas itu, syarikat yang terlibat boleh menambah pendapatan mereka. Setiap permohonan akan dinilai terlebih dahulu bagi memastikan ianya
mengikut peruntukan undang-undang yang ditetapkan.
“Syarikat korporat dan swasta tidak diberikan tempoh had masa untuk jualan nombor plat kenderaan ini, mereka boleh jual peruntukan nombor yang diberikan sehingga habis,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Terdahulu, Shaharuddin hari ini mengumumkan pelaksanaan sistem bidaan dalam talian Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJeBid) diperluaskan ke JPJ Pulau Pinang untuk siri plat PPC yang akan bermula pada 2 hingga 6 Ogos ini.
Mengulas lanjut, Shaharuddin berkata, sebelum ini kerajaan juga telah membuat keputusan dasar untuk memberi kelonggaran kepada universiti awam mempunyai nombor pendaftaran khas kenderaan.
Katanya, dana menerusi penjualan nombor plat khas itu boleh digunakan untuk penyelidikan dan pembangunan universiti dan permohonan itu perlu dibuat melalui Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan.
Selain itu katanya, universiti awam akan diberikan sebanyak 10,000 nombor plat kenderaan untuk dijual dalam tempoh tiga tahun dengan bayaran sebanyak RM500,000 perlu dilunaskan kepada JPJ dalam tempoh tiga bulan.
Dalam pada itu katanya, sebanyak RM9.6 juta disumbangkan kepada hasil kerajaan menerusi penjualan tujuh siri nombor pendaftaran yang dilaksanakan melalui sistem JPJeBid sejak April lalu.
“Tujuh siri nombor itu melibatkan Wilayah Persekutuan Putrajaya (FC), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (VDN, VDP, VDQ, VDR, VDS) dan Kedah (KET). Bagi siri PPC, JPJ menyasarkan hasil bidaan keseluruhan antara RM600,000 hingga RM1 juta.
“Harga bidaan dalam JPJeBid adalah mengikut harga minimum ditetapkan iaitu nombor bernilai utama RM20,000, nombor menarik (RM3,000), nombor popular (RM800) dan nombor biasa (RM300),” katanya.-UTUSAN ONLINE











