Empat individu ditahan kes kematian pasangan warga emas - Utusan Malaysia

Empat individu ditahan kes kematian pasangan warga emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN 26 Julai – Empat individu ditahan bagi membantu siasatan kes penemuan mayat sepasang suami isteri dengan kesan tikaman dan kelar di dalam sebuah rumah yang terbakar di Taman Desa Melati di Nilai di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Mohd. Nor Marzukee Besar berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 30 hingga 45 tahun.

“Keempat-empat mereka ditahan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan dan Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai semalam sehingga awal pagi ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Mereka ditahan reman bermula hari ini sehingga 1 Ogos ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Mohd. Nor Marzukee bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung penahanan empat individu terbabit dan kaitan mereka dengan kes tersebut.

Dalam kejadian Rabu lalu, mayat pasangan warga emas, Tan Kim Joo, 73, dan Ng Chong Hwa, 67, ditemukan dengan kesan tikaman dan kelar dipercayai dibunuh di dalam sebuah rumah teres dua tingkat yang terbakar di Taman Desa Melati.

Mayat kedua-dua mangsa dijumpai oleh anggota bomba yang memadamkan kebakaran rumah tersebut kira-kira pukul 9.30 malam. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini