KUALA LUMPUR 26 Julai – Celcom Axiata Bhd. melaksanakan Ujian Lapangan Berkelompok 5G Secara Langsung yang pertama di Malaysia dalam usaha memacu pelaksanaan 5G.
Ketua Pegawai Eksekutif Celcom, Idham Nawawi berkata, ujian lapangan 5G selama enam bulan itu akan dijalankan di ibu pejabatnya, @celcom dan sekitar Petaling Jaya Sentral untuk menguji dan memantau penggunaan serta prestasi liputan 5G dalam persekitaran sebenar.
Katanya, Ujian Lapangan Berkelompok 5G Secara Langsung Celcom akan meneroka model aplikasi 5G dan kes penggunaan dalam memperlihatkan keupayaan 5G untuk menyokong aplikasi Smart City.
“Ia juga bagi menerokai pelbagai industri seperti pengangkutan, pertanian, pendidikan, keselamatan dan banyak lagi.
“Malah, 5G dijangka menyediakan jaringan hubungan menyeluruh kepada pengguna dan perniagaan dengan pengalaman yang berbeza,” katanya dalam majlis pelancaran ujian lapangan itu di sini hari ini.
Ujian 5G Celcom di peringkat awal memperlihatkan daya pemprosesan hampir enam gigabit sesaat (6Gbps) dan akan dipertingkatkan lagi sepanjang tempoh ujian lapangan secara langsung di kawasan terpilih di Petaling Jaya seperti Seksyen 14, Crystal Crown Hotel, Menara Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Stesen LRT Taman Jaya.
Tapak makro 5G itu meliputi keluasan hampir 1.22 kilometer persegi, mencapai kira-kira 450 kediaman, 130 lot kedai, pejabat, kawasan beli-belah dan kawasan luar bangunan dan anggaran penduduk lebih 4,600 orang.
Idham berkata, kajian mendalam tentang ciri-ciri 5G adalah penting untuk memastikan pelaksanaan yang lancar dalam masa terdekat dan ujian lapangan berkelompok adalah platform yang ideal bagi ujian yang menyeluruh.
“Pakar rangkaian kami, bersama-sama beberapa rakan teknologi kami akan menjalankan ujian dan penyesuaian pengalaman pengguna 5G, menggunakan kes, konfigurasi rangkaian, pengurusan kitaran pelanggan, pengoptimuman rangkaian dan pengkomersialan, yang seterusnya menjurus kepada evolusi kepada perkhidmatan, proses, produk sedia ada dan model perniagaan sedia ada.
“Kami yakin hasil ujian 5G ini akan membolehkan kami mengkaji dan seterusnya menyediakan rangkaian 5G bertaraf dunia kepada semua rakyat Malaysia dan mampu merealisasikan impian Malaysia sebagai negara digital,” katanya. – UTUSAN ONLINE











