Tip tanam nangka - Utusan Malaysia

Tip tanam nangka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Buah Nangka adalah tergolong dari famili Moraceae dan ianya amat sesuai ditanam dikawasan tropika. Musim berbuah boleh berubah bergantung kepada faktor iklim semasa dan kesuburan pokok. Ia berbuah sepanjang tahun dengan mula mengeluarkan hasil yang baik selepas tiga tahun ditanam.

Nama saintik bagi pokok nangka ialah Artocarpus hytereophylus manakala jarak tanaman yang sesuai bagi ialah 9 m x 9 m dengan menggunakan sistem segi empat sama.

Bagi anak pokok nangka yang baru ditanam, kerja penyelenggaraan seperti kerja menyiram, kawalan rumpai, pembajaan, pemangkasan dan kawalan penyakit serta perosak perlu dilakukan secara berterusan bagi menjamin pengeluaran buah yang baik dan berkualiti.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pokok nangka mudah dibiak dengan menggunakan kaedah cantuman mata tunas. Pokok yang berjaya dicantum perlu diletakkan di bawah naungan dan sesuai ditanam apabila pokok berumur lima bulan dan ke atas selepas dicantum.

Pokok nangka yang disyorkan ditanam adalah seperti J27, J29, J30, J31, J33, Nangka Mastura USM 2000, CJ 3 dan CJ 6. Buah nangka boleh dimakan segar dan diproses.

TIP PENJAGAAN

Antara tip penjagaan yang dapat dikongsi pada ruangan kali ini adalah seperti berikut:-

Pengairan

 Anak pokok didedahkan kepada cahaya matahari secara berperingkat supaya dapat menyesuaikan dengan keadaan suhu sebelum ditanam diladang.

 Pada peringkat awal penanaman, anak pokok perlu disiram dua kali sehari dari mula ditanam sehingga berumur antara empat hingga enam bulan supaya mendapat jumlah yang mencukupi bagi pertumbuhan yang baik dan sempurna.

 Tidak digalakkan menanam pokok pada musim panas atau kemarau untuk mengelakkan kekurangan air, pokok menjadi layu dan mati.

 Penggunaan bahan penyerap air seperti jeli ( aquasorb ) yang diletakkan didalam lubang bertujuan untuk memegang dan membekalkan air kepada pokok secara berterusan.

 Penggunaan sungkupan seperti sabut kelapa, habuk papan, tandan kelapa sawit, tempurung kelapa sawit juga perlu digunakan supaya dapat mengawal kelembapan tanah dan memegang air dengan baik.

Kawalan rumpai

 Rumpai yang tumbuh dikeliling pokok nangka perlu dikawal dengan menggunakan cangkul peringkat awal pertumbuhan dengan kekerapan dua bulan sekali

 Kawalan secara racun kimia iaitu jenis sentuh (paraquat )digunakan apabila pokok telah matang dan tua.

 Kawalan rumpai secara kimia dilakukan dalam empat bulan sekali dengan semburan dikeliling pokok sahaja.

Pemangkasan

 Kerja pemangkasan pembentukan dan penjagaan pokok nangka bermula dari umur enam bulan hingga dua tahun selepas penanaman diladang bagi mengawal dan membentuk pokok untuk pengeluaran hasil yang tinggi.

 Pokok nangka perlu dibentuk dengan menggunakan sistem terbuka tengah pada awal pertumbuhan dengan mengalakkan dahan utama tumbuh satu meter dari paras tanah dan membiarkan dahan-dahan sisi tumbuh mendatar.

 Pemangkasan penjagaan juga perlu dilakukan pada pokok nangka dengan memotong tunas air , ranting yang melempai ke bawah/tanah yang tidak produktif, ranting yang bersilang, ranting yang mati dan berpenyakit.

 Sisa ranting dan tunas air perlu dikumpul dan dibuang bagi mengelakkan pembiakan habitat serangga dan perosak.

Pembajaan

 Pada peringkat awal pertumbuhan, pokok nangka perlu dibekalkan dengan baja tumbesaran NPK 15:15:15 dengan kadar 600 gram setahun pada tahun pertama penanaman dan kekerapan membaja ialah empat kali setahun bagi mengalakkan pertumbuhan tampang yang baru.

 Pokok nangka yang mencapai umur matang, perlu ditabur dengan baja buah 12:12:17:2 mengikut kadar yang tertentu dengan kekerapan tiga kali setahun.

 Kadar baja tumbesaran dan baja buah yang digunakan bergantung kepada umur pokok dan kesuburan tanah.

 Kaedah pembajaan yang boleh digunakan ialah seperti tabur keliling pokok, poket, parit, alur dan semburan foliar.

Kawalan Penyakit dan Perosak

 Pokok nangka mudah diserang dengan serangga seperti Ulat Pengorek Batang, Ulat Pengorek buah, lalat buah, Kumbang Pemakan Daun dan lain-lain.

 Penyakit yang menyerang pokok nangka ialah seperti penyakit mati rosot, penyakit reput buah, penyakit reput pangkal dan sebagainya.

 Kawalan yang mudah adalah seperti menggunakan racun kimia yang disyorkan, musnahkan buah yang diserang, bersihkan persekitaran, pangkas dahan yang berpenyakit dan sebagainya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini