KEMAMAN 26 Julai – Seorang nelayan pantai warga emas ditemukan mati di dalam sebuah bot jenis fiber dekat Pengkalan Baran, Kuala Kemaman di sini malam tadi.
Pemangku Ketua Polis daerah, Deputi Superintenden Mohd. Haki Hasbullah berkata, mangsa, Ramli Muda, 60, dari Kampung Mak Lagam dekat sini dijumpai pukul 11.10 malam tadi oleh pasukan pencari dan penyelamat di air Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman.
Katanya, mangsa dikatakan menaiki bot jenis fiber warna oren seorang diri setelah dihantar oleh anaknya Nurul Ain Ramli, 25, di Jeti Bangsal Ikan Alex, Kampung Geliga Che Akob untuk menahan bubu ketam kira-kira pukul 12 tengahari semalam.
“Lebih kurang pukul 6 petang, anak mangsa telah menghubungi mangsa tetapi tidak dijawab sehinggalah ke pukul 10 malam.
“Anak mangsa yang risaukan bapanya yang menghidapi penyakit jantung, dia telah membuat laporan polis di Balai Polis Chukai di sini pukul 10 malam,” katanya di sini hari ini.
Mohd. Haki berkata, berikutan itu, pihaknya telah menubuhkan pasukan mencari dan penyelamat IPD Kemaman bagi mencari mangsa di kawasan sekitar berhampiran jeti tersebut.
“Pasukan mencari dan penyelamat IPD Kemaman terdiri daripada dua orang pegawai dan 10 orang anggota serta dibantu oleh lapan orang awam,” jelasnya.
Menurutnya, mangsa ditemui oleh pasukan pencari dan penyelamat IPD Kemaman pada pukul 11.10 malam dalam keadaan terbaring di dalam bot fiber di tepi tebing sungai Pengkalan Baran, Kuala Kemaman lebih kurang 3 kilometer dari Jeti Bangsal Ikan Alex, Kampung Geliga Che Akob.
“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk bedah siasat dan mangsa disahkan meninggal dunia akibat komplikasi jantung. – UTUSAN ONLINE











