KUALA LUMPUR 26 Julai – Pengunjung Melaka Fruit Fiesta 2019 masih berpeluang membuat lawatan dan makan buah dalam dusun di Melaka Tropical Fruit Farm, Sungai Udang, Melaka sehingga Ahad ini.
Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Negeri Melaka memberitahu, pesta yang dibuka dari pukul 9 pagi hingga 10 malam itu menawarkan lawatan dusun dengan menaiki tren serendah RM2.
“Ia termasuk pakej makan buah di dalam dusun selain pengunjung berpeluang memberi makanan kepada haiwan serta menaiki kereta kuda dan unta,” katanya dalam satu kenyataan.
Ujarnya, terdapat gerai jualan pelbagai jenis buah-buahan termasuk raja buah iaitu durian turut disediakan.
Selain itu, pengunjung juga berpeluang mencabar diri dalam beberapa pertandingan antaranya ‘Selfie, Wefie Syoknya Melaka Fruit Fiesta 2019’, Teka Berat Raja Buah, Makan Buah Terbanyak, mewarna dan karaoke. – UTUSAN ONLINE











