KUALA LUMPUR – Malaysia mencatatkan kemenangan motivasi selepas skuad hoki lelaki negara mengalahkan Jerman 4-2 dalam perlawanan ujian di Krefeld, semalam.
Anak buah ketua jurulatih, Roelant Oltmans berjaya mendahului seawal minit keenam, selepas Razie Rahim berjaya menyempurnakan pukulan sudut penalti.
Gol tersebut menjadi pencetus semangat kepada pasukan negara, dengan terus menguasai perlawanan pada suku masa kedua dan mendapat gol kedua melalui Faizal Shaari pada minit ke-13.
German berjaya merapatkan kedudukan selepas Tom Grambusch berjaya menjaringkan gol melalui pukulan sudut penalti dan kedudukan mendahului itu kekal, sehingga tamat suku akhir ketiga.
Dua lagi gol kemudiannya dijaringkan Shahril Saabah (minit ke-53) dan Azuan Hasan (minit ke-55) sebelum Jerman berjaya mendapat satu lagi gol diminit terakhir perlawanan melalui Timm Herzbruch.
Malaysia akan bertemu Sepanyol pada perlawanan ujian kedua 29 Julai ini. – BERNAMA











