Sebelum ini, kecoh rakyat Malaysia memperkatakan mengenai kemungkinan kadar bayaran menunaikan haji akan dinaikkan oleh Tabung Haji, selari dengan peningkatan kos urusan melaksanakan rukun Islam kelima tersebut.
Sememangnya, semua kita maklum, hampir kesemua harga barangan telah naik sejak beberapa tahun ini, termasuklah kos penerbangan, penginapan dan juga penyediaan makanan jemaah di Tanah Suci.
Bagi mereka, sebagai syarikat yang bertanggungjawab menguruskan urusan haji rakyat Malaysia, Tabung Haji perlu menyerap apa sahaja kenaikan kos kerana agensi itu ditubuhkan untuk ‘tolong’ rakyat Malaysia menunaikan haji.
Berita berkaitan:
Jumlah RM9,980 yang perlu dibayar mereka dikatakan sudah terlalu tinggi dan tidak mampu lagi untuk menambah simpanan jika kos bayaran mengerjakan haji dinaikkan.
Seperti yang kita semua tahu, kos sebenar menunaikan haji sekarang adalah RM22,500 iaitu kos yang perlu dibayar oleh jemaah yang tidak mendapat subsidi.
Maka, ulama mula memperkatakan mengenai syarat mampu atau ‘isthitoah’ dalam mengerjakan haji iaitu apabila seseorang tidak mampu, tidaklah wajib untuk golongan tersebut – seperti yang dijelaskan dalam Ayat 97 Surah Ali Imran.
Dalam ayat itu menjelaskan kewajipan manusia yang mampu mengerjakan haji di Baitullah, iaitu mampu dari segi kewangan untuk diri dan keluarga yang ditinggalkan, kesihatan dan keselamatan perjalanan.
Bagi golongan penentang kenaikan kadar haji baru itu, golongan ini beranggapan Tabung Haji atau kerajaan yang seharusnya bertanggungjawab mencukupkan syarat ‘isthitoah’ (mampu) mereka.
Macam kelakar pendapat itu tetapi itulah yang berlaku. Kerajaan atau agensi itu tidak boleh menaikkan kadar bayaran menunaikan haji atau mereka ‘diancam’ akan disingkirkan dalam pilihan raya akan datang.
Sebenarnya, kadar RM9,980 yang telah dikenakan Tabung Haji untuk jemaah menunaikan haji dengan mendapatkan visa haji, tiket penerbangan, pengangkutan darat, penginapan dan makanan selama 45 hari adalah tidak relevan lagi.
Ini kerana kos penduduk Mekah sendiri untuk mengerjakan haji dengan mendapat visa haji, kemudahan penginapan dan makanan di Arafah, Muzdalifah dan Mina adalah antara RM5,000 dan RM10,000.
“Kos itu hanyalah untuk tempoh lima hari bermula 8 Zulhijjah untuk membolehkan pelaksanaan ibadat rukun dan wajib haji sahaja,” kata Hasnan Hassan, rakyat Malaysia yang telah lapan tahun tinggal di Mekah. – UTUSAN ONLINE











