Tiga sah dijangkiti Chikungunya - Utusan Malaysia

Tiga sah dijangkiti Chikungunya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH 26 Julai – Jabatan Kesihatan negeri mengesahkan tiga penduduk dari Kampung Baru Simpang Pulai di sini dijangkiti wabak Chikungunya sejak 18 Julai lalu.

Pengarahnya, Datuk Dr Ding Lay Ming berkata, mereka yang dijangkiti itu terdiri daripada seorang remaja perempuan berusia 15 tahun dan dua lelaki masing-masing berumur 47 dan 67 tahun.

Katanya, dua pesakit telah mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta di sini manakala seorang lagi telah dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sehingga 23 Julai lalu terdapat tiga kes Chikungunya telah dilaporkan berlaku di lokaliti tersebut. Bagaimanapun, kesemua pesakit yang dimasukkan ke hospital berada dalam keadaan stabil dan telah pun dibenarkan pulang,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Menurut beliau, beberapa aktiviti dilakukan di kawasan wabak berkenaan termasuk pemeriksaan dan penghapusan tempat pembiakan (PTP) secara berterusan di 89 buah rumah.

Katanya, pengesanan kes secara aktif (ACD) di kampung ini telah dijalankan di mana seramai 912 orang penduduk telah disaring dan tiada kes baharu dikesan.

“Aktiviti larvaciding, Semburan Ruang Thermal (SRT) dan Semburan Ultra Low Volume (ULV) turut dilakukan di sekitar kawasan wabak di mana SRT telah meliputi 268 buah premis manakala ULV pula merangkumi 350 buah premis.

“Aktiviti pendidikan kesihatan seperti nasihat individu, tunjuk cara, edaran risalah dan hebahan awam turut dijalankan di kawasan berkenaan,” katanya.

Tambah beliau, aktiviti kawalan dan pencegahan akan terus dilakukan di lokaliti wabak Chikungunya di Kampung Baru Simpang Pulai di mana gotong-royong akan diadakan esok bagi memutuskan rantaian penularan penyakit berkenaan.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini