KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam menyatakan kesediaan untuk didakwa di mahkamah berhubung dakwaannya menuduh Ketua Polis Negara (KPN) sebagai ‘penipu’.
Katanya, semua soalan yang diajukan ketika diberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bukit Aman di sini akan dijawab di dalam mahkamah.
“Saya telah memberi keterangan selama 15 minit sebaik memasuki pintu utama Bukit Aman kira-kira pada pukul 10.30 pagi dan diberi layanan yang baik oleh anggota bertugas.
“Saya juga sudah menyatakan kepada pegawai penyiasat bahawa semua soalan yang diajukan akan dijawab di mahkamah,” katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia, Bukit Aman di sini hari ini.
Tambahnya, sekiranya didakwa di mahkamah, itu merupakan jalan terbaik bagi membolehkan laporan forensik yang diterimanya dari pakar forensik Indonesia dibawa ke mahkamah.
“Bila saya mendakwa KPN sebagai ‘penipu’, mereka boleh mendakwa saya mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak memecahkan keamanan.
“Saya rasa mereka juga tahu saya ingin didakwa bagi membolehkan perkara ini diselesaikan di mahkamah,” jelasnya.
Beliau turut memberitahu bahawa terdapat tiga perkara yang akan dibawa berhubung video lucah membabitkan seorang lelaki mirip menteri sekiranya di dakwa di mahkamah.
“Pertama, saya akan membawa laporan forensik yang membuat analisa bahawa video berkenaan tulen atau tidak.
“Seterusnya, laporan forensik berkaitan proses pengecaman selain menyuai padan wajah atau fizikal pelaku di dalam video berkenaan.
“Terakhir ialah visual dimana pakar forensik dari Indonesia telah berjaya mengurangkan bunyi televisyen dan menerangkan suara si pelaku berdasarkan suaranya ketika sedang membuat ucapan,” ujarnya. – K! ONLINE











