KUALA LUMPUR 24 Julai – Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mencatatkan peningkatan tertinggi bagi indeks kumpulan makanan & minuman bukan alkohol sebanyak empat peratus yang mana secara keseluruhan indeks kumpulan itu menunjukkan peningkatan 2.3 peratus pada Jun 2019.
Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan (DoS), Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, kenaikan itu didorong oleh kenaikan sub kumpulan sayur-sayuran (+5.2 peratus), susu, keju & telur (+2.5 peratus) dan buah-buahan (1.1 peratus).
Katanya, antara indeks barangan yang menunjukkan kenaikan harga di kebanyakan negeri adalah cili merah (+40.5 peratus), timun (+37.7 peratus), cili hijau (+22.7 peratus), cili burung (+22.3 peratus), yoghurt (+13.9 peratus), kerang (13.8 peratus) dan tomato (12.6 peratus).
“Indeks makanan di luar rumah meningkat 4.2 peratus pada Jun 2019 berbanding Jun 2018. Kenaikan harga bagi burger, ayam goreng, pizza dan makanan laut selain ikan telah menyumbang kepada kenaikan indeks bagi sub kumpulan ini.
“Semua negeri mencatatkan peningkatan bagi indeks kumpulan makanan & minuman bukan alkohol diikuti Pulau Pinang (+2.8 peratus), Perak (+2.7 peratus) dan Selangor & Wilayah Persekutuan Putrajaya (+2.6 peratus) dan kenaikannya melebihi paras indeks nasional kumpulan makanan & minuman bukan alkohol bagi Jun 2019,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Indeks Harga Pengguna (CPI) Malaysia yang mengukur teras inflasi meningkat 1.5 peratus pada Jun kepada 121.4 berbanding 119.6 bagi bulan sama tahun lepas.
Mohd. Uzir berkata, daripada 552 barang disenaraikan dalam CPI, 381 menunjukkan pertumbuhan positif bagi Jun berbanding pada Jun 2018, manakala 131 barang mencatatkan pertumbuhan negatif dan 40 barang kekal tidak berubah.
Ujar beliau, pemansuhan cukai barang dan perkhidmatan (GST) kepada kadar sifar pada 1 Jun 2018 mendorong kepada peningkatan dalam beberapa indeks dalam kumpulan utama.
“Ini kebanyakannya termasuk perabot dan aksesori, peralatan isi rumah dan penyenggaraan rutin isi rumah (+3.1 peratus), perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan (+2.7 peratus), makanan dan minuman tidak mengandungi alkohol (+2.3 peratus) dan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (+2.3 peratus.
“Pada asas bulanan, CPI kekal tidak berubah berbanding pada Mei, manakala CPI bagi suku kedua tahun ini meningkat 0.7 peratus kepada 121.3 berbanding 120.5 pada suku sama tahun sebelumnya,” katanya.
Peningkatan itu sebahagian besarnya disumbangkan oleh indeks perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (+2.0 peratus), makanan dan minuman bukan alkohol (+1.5 peratus), minuman mengandungi alkohol dan tembakau (+1.5 peratus) dan pendidikan (+1.3 peratus).
Pada asas suku, CPI meningkat 0.4 peratus berbanding pada suku pertama tahun ini.
DoS juga melaporkan CPI bagi negeri-negeri, tiga negeri iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (+2.2 peratus), Pulau Pinang (+2.2 peratus) dan Selangor dan Wilayah Persekutuan Putrajaya (+1.7 peratus) mengatasi kadar CPI kebangsaan pada 1.5 peratus bagi Jun berbanding pada Jun 2018, manakala Perak dan Johor menunjukkan peningkatan pada kadar sama dengan CPI kebangsaan.
Kenaikan disumbangkan oleh sub kumpulan
Sayur-sayuran
+5.2%
Susu, keju & telur +2.5%
Buah-buahan
1.1%
Burger, ayam goreng, pizza dan makanan laut selain ikan meningkatkan indeks makanan di luar rumah
4.2%
4%
KL catat peningkatan tertinggi bagi indeks kumpulan makanan & minuman bukan alkohol
Pemansuhan GST kepada kadar sifar pada 1 Jun 2018 mendorong kepada peningkatan dalam beberapa indeks kumpulan utama.
CPI Malaysia yang mengukur teras inflasi meningkat
1.5%
INFO











