Defisit fiskal susut 39 peratus kepada RM21.4 bilion bagi Jan hingga Mei 2019 - Utusan Malaysia

Defisit fiskal susut 39 peratus kepada RM21.4 bilion bagi Jan hingga Mei 2019

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 24 Julai – Kerajaan berjaya mengurangkan defisit fiskal sebanyak 39 peratus kepada RM21.4 bilion bagi tempoh lima bulan pertama 2019, daripada RM35.0 bilion pada tempoh sama tahun lepas, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

LIM GUAN ENG

Beliau berkata, kerajaan turut mengurangkan defisit akaun semasa kepada RM1.1 bilion bagi tempoh sama 2019, iaitu penurunan sebanyak 94 peratus atau RM16 bilion daripada RM17.1 bilion bagi tempoh 2018.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Disiplin fiskal telah diketatkan dengan gabungan kawalan lebih ketat terhadap perbelanjaan mengurus, melalui amalan tender terbuka yang kompetitif dengan lebih meluas serta pe­ngenaan belanjawan asas sifar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, tender terbuka yang kompetitif dan belanjawan asas sifar memberikan kesan positif kepada keadaan kewangan kerajaan serta membolehkan perbelanjaan pembangunan dinaikkan 13 peratus atau RM2.4 bilion bagi lima bulan pertama 2019, berbanding tempoh sama 2018.

“Usaha konso­li­dasi fiskal yang berjaya adalah an­tara faktor mendorong Fitch Ra­tings mengesahkan semula penarafan kredit berdaulat pada A- dengan unjuran stabil pada 18 Julai, 2019. Ini berikutan pengesahan semula yang sama oleh S&P Global Ratings pada 3 Julai, 2019.

“Bagaimanapun, kerajaan menyedari perbelanjaan subsidi yang ditanggung dan akan terus menguruskan perbelanjaan secara berhemat,” kata­nya.

Beliau berkata, seperti yang telah diumumkan dalam Belanjawan 2019, kerajaan bercadang membelanjakan RM259.9 bi­lion untuk tujuan perbelanjaan mengurus tahun ini.

Perbelanjaan mengurus sebanyak RM106.5 bilion bagi tempoh Januari hingga Mei 2019 merupakan 41.0 peratus daripada jumlah yang te­lah diperuntukkan, katanya.

“Berdasarkan kepada prestasi fiskal semasa, kerajaan yakin dapat menca­pai sasaran de­fisit fiskal 3.4 peratus berban­ding Keluaran Dalam Negara Ka­sar (KDNK), di samping memastikan imbangan akaun semasa berada dalam keadaan lebihan pada 2019,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya tiada perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China, dua rakan dagang Malaysia terbesar, Kementerian Kewangan percaya kerajaan akan dapat mencapai sasaran defisit se­rendah 3.0 peratus berbanding KDNK 2020.

Secara keseluruhannya, kerajaan yakin ekonomi negara akan berkembang secara mampan pada tahun ini dan 2020 serta kerajaan berada di landasan yang betul untuk memulihkan kembali keadaan kewangannya pada 2021. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini