Dua warga Indonesia didakwa bawa, lindungi PATI - Utusan Malaysia

Dua warga Indonesia didakwa bawa, lindungi PATI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG – Dua warga Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan membawa dan melindungi pendatang asing tanpa Izin (PATI), awal bulan ini.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh, Supinah, 43 dan Syahriandi, 31, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim M. Kunasundary.

Mengikut pertuduhan, Supinah bersama seorang lagi lelaki yang masih bebas didakwa telah melindungi 20 orang migran warga Indonesia yang telah diseludup terdiri daripada 14 lelaki dan enam wanita berusia lingkungan 23 hingga 53 tahun.

Memuatkan artikel berkaitan…

Manakala, Syahriandi pula didakwa mengangkut seorang migran yang diseludup, Ridho Kurniawan, 53.

Perbuatan tersebut dilakukan di sebuah rumah di Tali Air 10, Kampung Pasir Panjang, Sekinchan, Sabak Bernam antara 2 dan 3 Julai lalu.

Bagi kesalahan itu, Supinah boleh dakwa mengikut Seksyen 26H Akta Antipemerdagangan Orang dan Migran (ATIPSOM) 2007 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, dia berdepan hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun dan denda atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, Syahriandi pula didakwa mengikut Seksyen 26J Akta ATIPSOM 2007.

Sabit kesalahan, dia boleh dipenjara tidak lebih lima tahun atau denda tidak melebihi RM250,000.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Ahmad Hijrah Wan Abdullah memohon satu tarikh baharu untuk pengurusan kes sebelum dipindah ke Mahkamah Tinggi.

Kunasundary kemudiannya menetapkan 8 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini