SHAH ALAM – Kerajaan negeri Selangor masih menunggu laporan penuh berhubung kejadian seorang bayi lelaki lemas dalam baldi di sebuah Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) di Seksyen 32 di sini, kelmarin.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita Dan Keluarga, Dr. Siti Mariah Mahmud berkata, siasatan itu termasuk sama ada taska tersebut telah memohon lesen daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Penelitian masih dilakukan dan saya masih menunggu laporan penuh berkaitannya,” katanya ringkas ketika dihubungi di sini hari ini.
Terdahulu, tinjauan Kosmo! di taska itu mendapati pihak JKM hadir ke lokasi bagi melakukan pemeriksaan hampir setengah jam bermula pukul 11 pagi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, berdasarkan siasatan awal mendapati taska itu beroperasi tanpa lesen selama lapan bulan sejak Disember tahun lalu.
“Kita telah mendapat perintah tahanan reman selama tiga hari bermula hari ini terhadap pemilik taska berusia 30 tahun,” katanya.
Kosmo! Online terdahulu melaporkan seorang bayi lelaki berusia sembilan bulan ditemui lemas tersembam di dalam baldi tandas sebuah taska di Seksyen 32, di sini.
Abdul Rayyan Mijan, ditemui tidak sedarkan diri oleh penjaga taska berkenaan selepas dipercayai merangkak ke dalam tandas yang tidak dikunci pintunya.- K! ONLINE











